Gara-gara telefon bimbit, pemuda 25 tahun di Melaka maut ditikam rakan guna parang

Oleh MALAYSIADATELINE

Gara-gara pertelingkahan berpunca dari telefon bimbit, seorang pemuda berusia 25 tahun maut ditikam rakan menggunakan parang di hadapan rumahnya di Jalan Mohd Akhir, Kampung Sungai Udang, malam tadi.

Kejadian dilaporkan berlaku sekitar pukul 8.30 malam selepas suspek berusia 44 tahun dikatakan datang ke rumah mangsa untuk mengambil semula telefon bimbit diserahkan kepada pemuda itu sebelum ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit memaklumkan bahawa pertemuan itu bertukar menjadi pergaduhan sebelum mangsa diserang dengan sebilah parang di anjung rumah.

Memetik laporan Malaysia Gazette, kedua-dua mangsa dan suspek yang didakwa terlibat di dalam kes cukup tragis tersebut merupakan warga tempatan berbangsa Melayu.

“Dalam keadaan panik itu, abang mangsa yang berada di lokasi cuba mengejar suspek namun lelaki itu melarikan diri sejauh kira-kira 300 meter sebelum bertindak memecahkan cermin sebuah kereta milik orang awam untuk bersembunyi.

“Siasatan awal mendapati terdapat sekurang-kurangnya tiga tikaman di bahagian dada kiri dan kita telah merampas sebilah parang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut,” jelas Christopher memetik laporan Malaysia Gazette,

Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki terbabit saling mengenali dan masing-masing memiliki rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah manakala kes pula disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Akibat dari kejadian yang berlaku di beranda rumahnya itu, mangsa ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa di hadapan kediamannya sendiri dengan sekurang-kurangnya tiga kesan tikaman pada kiri dada.

Baca juga: Daiyan Trisha pula kena tipu RM120 lepas beli slot Rembayung di Thread