Kerajaan mengekalkan harga petrol RON95 bersubsidi pada paras RM1.99 seliter meskipun harga bahan api di pasaran global meningkat.
Dalam masa sama, kerajaan turut mengumumkan kenaikan bantuan tunai BUDI Diesel kepada RM300 sebulan bagi tempoh interim untuk meringankan beban pengguna diesel yang layak.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa langkah tersebut diambil susulan ketidaktentuan pasaran minyak global serta lonjakan harga minyak dunia kebelakangan ini.
Menurut kenyataan itu, harga bahan api akan terus diselaraskan bagi mencerminkan pergerakan harga minyak di pasaran antarabangsa.
Namun kerajaan masih menanggung sebahagian subsidi bagi mengurangkan kesan kepada rakyat.
“Walaupun harga pam petrol RON95 dan diesel meningkat, harga RON95 di bawah inisiatif BUDI95 kekal RM1.99 seliter.
“Manakala penerima bantuan tunai BUDI Diesel dinaikkan kepada RM300 sebulan bagi tempoh interim,” menurut Kementerian Kewangan.
Tambah kementerian itu, kenaikan harga bahan api kali ini berlaku susulan lonjakan harga minyak dunia akibat konflik di Asia Barat selepas serangan ke atas Republik Islam Iran.
Pada 9 Mac 2026, harga minyak mentah Brent dilaporkan mencecah AS$119 setong sebelum turun semula sekitar AS$90 setong, namun keadaan pasaran global masih tidak menentu.
Sehubungan itu, harga pam RON97 dan RON95 tanpa subsidi dinaikkan sebanyak 60 sen seliter, manakala diesel di Semenanjung Malaysia meningkat 80 sen seliter.
Bagi tempoh 12 Mac hingga 18 Mac 2026, harga runcit bahan api adalah seperti berikut:
- RON97: RM3.85 seliter
- RON95 tanpa subsidi: RM3.27 seliter
- Diesel (Semenanjung Malaysia): RM3.92 seliter
Bagaimanapun, kerajaan menegaskan beberapa langkah perlindungan kepada rakyat akan terus dilaksanakan, termasuk mengekalkan harga bersubsidi RON95 pada RM1.99 seliter, harga diesel bersubsidi di Sabah dan Sarawak pada RM2.15 seliter, serta subsidi diesel untuk sektor pengangkutan darat awam dan barangan.
Selain itu, bantuan tunai di bawah BUDI Diesel Individu dan BUDI Diesel Agri-Komoditi turut dinaikkan daripada RM200 kepada RM300 bagi bulan Mac 2026, dengan bayaran tambahan RM100 akan dibuat bermula 17 Mac 2026.
Kementerian Kewangan turut memaklumkan bahawa penguatkuasaan akan dipertingkatkan bagi membendung ketirisan serta penyalahgunaan bahan api bersubsidi.
“Kerajaan MADANI kekal komited untuk mengimbangi perlindungan kepada rakyat dengan kebertanggungjawaban fiskal dalam pengurusan subsidi negara,” menurut kenyataan itu lagi.
Baca juga: KPDN laksana Skim Harga Maksimum Aidilfitri 2026, 27 barangan dikawal mulai 14 Mac