Ribuan ‘parcel’ pelanggan dibiar tersadai selepas pekerja kurier letak jawatan beramai-ramai

Oleh KIM SYAZIE

Beribu-ribu bungkusan milik pelanggan SPX Express dibiar tersadai dan bertimbun di gudang ekoran peletakan jawatan beramai-ramai penghantar barang di syarikat itu.

Ia menyebabkan bungkusan pelanggan bertimbun tidak dihantar sekali gus mencetuskan kebimbangan pembeli mengenai status barangan mereka.

Kejadian dilaporkan berlaku di syarikat SPX Express yang terletak di Kota Bontang, wilayah Kalimantan Timur, Indonesia.

Keadaan bungkusan-bungkusan itu kelihatan terbiar begitu sahaja tanpa ada pekerja yang menyusun atau menghantarnya.

Berdasarkan keterangan di ruangan komen, beberapa pengguna mendedahkan sebab di sebalik keadaan itu. 

Akaun TikTok @sandenmac yang memuat naik video tersebut menyatakan bahawa gudang itu terlalu penuh kerana kekurangan kakitangan penghantaran.

“Pekerja-pekerka kurier meletak jawatan,” tulis akaun itu.

Sehingga kini, tiada kenyataan rasmi daripada pihak pengurusan SPX Express mengenai penyelesaian kepada beribu-ribu bungkusan yang tersadai itu atau sebab sebenar di sebalik peletakan jawatan beramai-ramai kurier di kawasan Bontang.

Baca juga: Nasihat ustaz dan soalan anak jadi titik perubahan, A. Aida nekad berhijab