Hilang sopan dan sifat malu, pendakwah pesan jangan ulang ‘trend’ joget duit raya

Oleh MALAYSIADATELINE

Pendakwah bebas terkenal, Ustazah Asma’ Harun tampil menyampaikan pesanan berhubung kandungan dimuat naik di platform media sosial menjelang musim perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

Menerusi hantaran dimuat naik di platform Facebook, pendakwah terbabit menasihati orang ramai agar tidak mengembalikan ‘trend’ berjoget untuk mendapatkan duit raya yang pernah popular suatu ketka dahulu

Menurut Ustazah Asma’, penciptaan kandungan yang melibatkan pelbagai generasi termasuk tua dan muda itu dikhuatiri boleh menghilangkan sifat malu serta nilai kesopanan khususnya bagi umat Islam.

Sehubungan dengan itu, pendakwah terbabit turut menasihati umat Islam untuk menerapkan semula adab dan adat menerima pemberian duit raya sekali gus menghormati bulan Syawal yang mulia.

“Jangan dibuat lagi tahun ini, ‘trend’ mengambil duit raya sambil berjoget-joget. Tua, muda jadi hilang sopan dan sifat malu. Apabila ada yang beri duit raya, ikutlah adab dan adat kita.

“Mula-mula salam. Kemudian mengucapkan terima kasih dan mengucapkan syukur atas rezeki yang Allah berikan,” pesan pendakwah terbabit dalam perkongsian dimuat naik di akaun Facebook miliknya.

Ustazah Asma’ juga memberikan peringatan mengenai larangan perbuatan mengisytiharkan (mujaharah) maksiat iaitu melakukan maksiat secara terang-terangan yang merupakan antara dosa besar dicegah dalam agama.

Dalam perkongsian sama, pendakwah terbabit turut berkongsikan petikan doa agar dilindungi daripada maksiat untuk diamalkan oleh orang ramai sebagai pertahanan diri.

Baca juga: Apa ini, macam mana boleh dapat berkotak-kotak duit kertas baru?