“Hati mereka suci, tak cemburu” – Atikah Suhaime hairan majlis dengan anak yatim dipertikai

Oleh MALAYSIADATELINE

Pelakon, Atikah Suhaime meluahkan rasa hairan apabila segelintir pihak mempertikaikan majlis sambutan hari jadi anak sulungnya iaitu Lyla Mulan Teh yang diraikan bersama kehadiran anak yatim.

Menerusi perkongsian dimuat naik di Instagram Story, pelakon terbabit menafikan andaian konon sambutan sedemikian membuatkan anak yang tidak mempunyai ibu bapa merasa sedih mahupun cemburu.

Sebaliknya pemilik nama sebenar Nur Atikah Mohd Suhaime mengakui menyaksikan anak-anak yatim yang dijemputnya kelihatan cukup gembira malah turut beramah mesra dengan anaknya.

Pelakon berusia 34 tahun itu juga menjelaskan bahawa tujuannya menjemput anak-anak yatim adalah untuk berkongsi rezeki dan kegembiraan selain mengalu-alukan orang ramai turut melakukan perkara sama.

“Saya tak pasti kenapa orang pertikaikan sambutan hari lahir bersama anak-anak yatim. Saya rasa mereka akan gembira. Mereka memang tak mahu balik sehingga pukul 10.30 malam.

“Sampai cikgu pula kena pujuk mereka untuk pulang. Saya juga sempat bermain bersama sebab sewaktu kecil dulu tak pernah rasa, sekarang baru dapat merasa. Mereka semua pulang dengan bawa hadiah ‘hari jadi’.

“Semua anak-anak balik dengan hadiah termasuk anak-anak kawan saya. Mulan suka berkawan, abang-abang dan kakak-kakak ini semua sangat peramah. Mereka suka layan Mulan,” kongsinya dalam hantaran itu.

Dalam pada itu, Atikah juga menekankan bahawa anak-anak yatim tidak mempunyai pemikiran negatif seperti cemburu melihat orang lain memiliki ibu bapa sebagaimana dibangkitkan di media sosial baru-baru ini.

Selebriti terbabit juga berharap agar orang ramai tidak menjadikan andaian seperti itu sebagai penghalang untuk turut menjemput anak yatim sekali gus dapat berkongsi kegembiraan bersama.

“Mereka bahkan sangat gembira apabila dijemput makan di luar atau sambut hari jadi bersama. Kalian akan terkejut melihat sikap positif mereka sebab memiliki hati yang suci.

“Saya sangat harap jika anda ada rezeki lebih, jemputlah anak-anak ini dan raikan sekali. Jangan dengar orang cakap, ‘kasihan nanti mereka sedih tengok orang lain’. Macam mana boleh tahu kalau kita tiada di tempat mereka?

“Percayalah, mereka sebenarnya sangat menunggu kalau ada orang jemput. Main, berbual dan yang penting dapat berseronok serta berkongsi rezeki bersama.” Ujarnya lagi.

Baca juga: “Saya kehilangan segalanya” – Nonny Nadirah terpaksa kumpul dana untuk teruskan kehidupan