Ozlynn bersyukur Johan jenis tak berkira, sama-sama urus rumah tangga

Oleh MAISARAH AISYA

Pelakon Ozlynn Wati, berkongsi pandangannya mengenai tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu yang disifatkannya sebagai antara ibadah paling mulia dalam kehidupan.

Menerusi perkongsian di media sosial, Ozlynn mengakui ramai beranggapan kehidupan artis lebih mudah kerana mempunyai kewangan yang stabil serta bantuan pembantu rumah.

Namun menurutnya, walaupun mempunyai pembantu, kebanyakan kerja rumah masih dilakukannya sendiri kerana dia tidak mahu menghantar anak-anak kepada pengasuh.

Tambahnya lagi, jadual hariannya juga agak padat sehingga waktu tidur sering tidak mencukupi.

“Terus terang, segala kerja rumah saya buat sendiri seperti memasak, mengemas, membasuh baju, mencuci tandas, pergi berniaga dan juga pergi penggambaran,” ujarnya di Threads.

“Balik pukul 2 pagi, bangun pukul 4 pagi untuk siapkan bekal sekolah anak. Tidur memang tak pernah cukup,” katanya.

Walaupun penat dengan rutin tersebut, Ozlynn percaya setiap pengorbanan yang dilakukan sebagai isteri dan ibu akan mendapat ganjaran yang mulia di sisi Allah SWT.

Menurutnya, dia sering menggantikan rasa penat itu dengan memperbanyakkan istighfar sebagai cara menenangkan diri.

Dalam masa sama, Ozlynn turut bersyukur kerana suaminya, pelawak dan penyampai radio Johan seorang yang tidak berkira dan memahami keadaan dirinya.

“Dan saya beruntung sebab suami tak kisah pun kalau ada ketika saya penat, saya tertidur waktu dia balik.

“Kalau suami jenis tak berkira, boleh enjoy buat sama-sama atau dia boleh terima rumah bersepah sikit tapi yang penting anak terjaga dan sama-sama urus Alhamdulillah,” kongsinya.

Ozlynn turut berkongsi bahawa pada awal perkahwinan, suaminya tidak begitu mahir melakukan kerja rumah, namun dia sendiri yang mengajar sedikit demi sedikit.

“Macam saya suami dari tak tahu buat apa pun, dari awal kahwin saya yang ajar semua benda. Sebab ayah saya polis, dia buat semua untuk arwah mak.

“Jadi saya ajar suami macam mana ayah saya jaga mak dulu,” tambahnya.

Kini, Ozlynn bersyukur kerana suaminya pula mengajar anak-anak mereka melakukan perkara yang sama seperti yang pernah diajarkan dahulu.

Baca juga: “Para isteri, fikir balik nak suruh suami kulit gerhana pakai baju Strawberry Matcha”