Gabungan warna merah jambu bersama hijau pastel atau dipanggil sebagai ‘Strawberry Matcha’ dijangka menjadi antara tema pilihan hangat sebagai busana untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.
Pemasaran busana Strawberry Matcha ini bukan sahaja rancak dilakukan di pelbagai platform jualan atas talian malah banyak juga jenama terkenal di Malaysia turut mengeluarkan rekaan menggunakan tema tersebut.
Namun di sebalik kemeriahan persiapan busana raya yang mana keputusannya selalu dibuat oleh sang isteri, muncul pula persoalan mengenai pendapat suami mereka mengenai pemilihan tema warna tular tersebut.
Isu ini turut dibangkitkan pelakon, Mustaqim Bahadon yang memberikan nasihat secara berseloroh untuk para isteri agar mempertimbangkan semula pilihan warna busana mengikut rona kulit pasangan mereka.
Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Threads, Mustaqim berpendapat bahawa tema ‘Strawberry Matcha’ mungkin kurang sesuai digayakan untuk seisi keluarga jika ada di antara mereka berkulit kurang cerah.
“Kepada isteri-isteri yang suaminya tak berapa nak cerah itu, tolonglah fikirkan balik nak suruh pasangan awak yang kulit gerhana itu pakai busana strawberry matcha.
“Sudah macam perarakan hari merdeka untuk tadika kemas. Kalau nak sama, pakai satu warna sahaja bang. Jangan nak matcha strawberry sangat,” selorohnya dalam perkongsian di akaun Threads miliknya itu.
Tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna terhibur dengan perkongsian Mustaqim namun bersetuju bahawa kesesuaian tema dengan pasangan juga perlu difikirkan ketika membuat pilihan busana raya.
Ramai juga para isteri terutama mereka yang memiliki pasangan berkulit kurang cerah turut memaklumkan di ruangan komen bahawa keputusan untuk membuat pilihan warna sememangnya diserahkan kepada suami mereka.
Baca juga: ‘7-dua puluh tujuh’ – 7E tampil kreatif, guna billboard kedai papar waktu berbuka puasa