Fazura diam-diam hantar ‘lori’ kepada anak yatim, individu ini dedah sisi dermawan pelakon

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang individu berjaya mencuri tumpuan ramai baru-baru ini selepas tampil mendedahkan sisi lain pelakon dan usahawan selebriti, Nur Fazura yang tidak diketahui oleh masyarakat umum.

Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Threads, individu dikenali sebagai Hafiz Mohamed Nasir yang turut bekerja dalam bidang perniagaan itu mengakui cukup rapat dengan Fazura secara peribadi.

Hafiz memaklumkan bahawa pemilik nama sebenar Nur Fazura Sharifuddin itu merupakan seorang selebriti yang dermawan namun jarang sekali menunjukkan kebaikan dilakukannya untuk tatapan umum.

Menurut Hafiz, antara kebaikan selebriti terbabit adalah bersedekah secara sembunyi dengan menghantarkan bantuan makanan dan keperluan asas kepada anak-anak yatim dan mereka yang memerlukan.

“Sepanjang pengalaman saya bekerja dengan Fazura, ada satu perkara yang ramai orang mungkin tidak tahu tentang dirinya. Banyak perkara baik yang dia lakukan dilakukan secara senyap dengan penuh keikhlasan.

“Antara yang saya sendiri pernah lihat adalah setiap hari Jumaat, akan ada bantuan makanan dihantar kepada anak-anak yatim dan mereka yang memerlukan. Satu lori penuh dengan beras dan keperluan asas.

“Perkara itu dilakukan secara konsisten, tanpa hebahan dan publisiti. Itulah sifat sebenar beliau. Bagi saya secara peribadi, Fazura adalah seorang yang baik hati, lembut dan penuh kasih sayang,” kongsinya.

Dalam perkongsian yang sama, Hafiz turut berkongsi pandangan bahawa keindahan hati seseorang mungkin tidak dapat dinilai namun boleh dilihat melalui caranya melayan orang-orang yang berada di sekelilingnya.

Individu itu juga berharap agar pengguna media sosial berhenti bercakap buruk tentang orang lain sebaliknya mula menjaga hati lebih-lebih lagi ketika berada di 10 malam terakhir yang penuh dengan keberkatan Ilahi.

“Kadang-kadang, kita tidak pernah tahu apakah yang seseorang itu sedang lalui dalam hidup mereka. Saya hanya ingin berkongsi dari pengalaman sendiri ketika bekerja dengan beliau. Fazura adalah seseorang yang sangat baik.

“Jika kita tidak mempunyai sesuatu yang baik untuk dikatakan tentang seseorang, mungkin lebih baik kita memilih untuk diam. Kita semua manusia yang sedang melalui perjalanan hidup masing-masing. Bagi saya, dia tetap seperti seorang kakak.

“Dari jauh, saya sentiasa mendoakan yang terbaik buat dirinya. Kerana sebenarnya, dunia ini boleh menjadi tempat yang lebih aman dan indah jika setiap hari kita memilih untuk menjadi manusia yang sedikit lebih baik daripada semalam.” Ujarnya.

Hafiz juga menyeru orang ramai berdoa kepada Allah SWT agar dipermudahkan urusan, dijaga hatinya dan diberikan keberkatan dalam kehidupan buat semua insan selain lebih menumpukan perhatian untuk menjadi manusia lebih baik daripada semalam.

Baca juga: Jangan ‘last minute’ sangat, zakat fitrah pun ada deadline!