Nak ketupat tahan sampai raya kedua? PHM nasihat elak 6 kesilapan ini waktu masak

Oleh MAISARAH AISYA

Public Health Malaysia (PHM) tampil berkongsi panduan penting bagi memastikan ketupat yang dimasak tahan lebih lama, khususnya sepanjang musim perayaan.

Menurut perkongsian tersebut, ramai beranggapan ketupat cepat basi disebabkan cuaca panas ketika raya, namun hakikatnya cara penyediaan, pengendalian dan penyimpanan memainkan peranan lebih besar.

PHM menjelaskan terdapat enam kesilapan utama yang sering dilakukan tanpa disedari.

Antaranya termasuk menggunakan beras atau daun yang tidak berkualiti, selain mengisi beras terlalu padat hingga menjejaskan proses masakan.

Selain itu, ketupat yang tidak direbus dengan sempurna juga boleh menyebabkan bahagian dalamnya masih lembap dan mudah rosak.

Tidak kurang juga, kesilapan selepas memasak seperti membiarkan ketupat dalam keadaan lembap tanpa ditoskan dengan baik serta dibiarkan terlalu lama pada suhu bilik.

“Ini antara silap paling biasa. Ketupat yang sudah masak jangan dibiar atas meja berjam-jam,” jelas PHM.

Dalam masa sama, cara penyimpanan dan pemanasan semula juga memainkan peranan penting.

PHM menyarankan agar lebihan ketupat disimpan dalam bekas bersih dan dimasukkan ke dalam peti ais dengan segera, selain dipanaskan semula dengan cara yang betul seperti mengukus sehingga panas sepenuhnya.

Sebagai panduan, ketupat hanya boleh bertahan sekitar empat jam pada suhu bilik, atau dua jam jika cuaca panas.

Jika disimpan dalam peti ais, ia disarankan untuk dihabiskan dalam tempoh tiga hingga empat hari, manakala untuk tempoh lebih lama, ketupat boleh dibekukan.

Perkongsian ini sekali gus menjadi peringatan bahawa ketupat bukan sahaja perlu sedap, tetapi juga perlu dijaga dengan betul bagi mengelakkan pembaziran dan risiko kesihatan.

Baca juga: Makin ramai penjawat awam buat ‘loan’ demi hari raya