Satu rakaman memaparkan suasana berdekatan pintu masuk sebuah tanah perkuburan Islam yang dipercayai terletak di Jalan Perak, Georgetown, Pulau Pinang telah berjaya mencuri perhatian ramai baru-baru ini.
Mana tidaknya menerusi rakaman tersebut, kelihatan beberapa individu disyaki warga asing serta pelarian ‘berkumpul’ di lokasi tersebut bersama kotak ataupun helaian kain yang dijadikan sebagai alas tempat duduk.
Walau bagaimanapun, perkara yang menjadi isu adalah tujuan mereka semua berkumpul di kubur itu bukanlah untuk mengunjungi keluarga atau kenalan sebaliknya didakwa mahu meminta sedekah daripada penziarah.
Isu itu difahamkan mula hangat diperkatakan selepas rakaman kejadian dimuat naik di platform Threads oleh seorang penduduk tempatan yang meluahkan rasa terkejut apabila melihat permandangan sedemikian.
“Saya pergi menziarahi kubur arwah ibu dan keluarga. Tengok perangai-perangai orang minta sedekah penuh dekat kubur. Orang Rohingya dan warga asing. Bapa saya cakap, selalunya pagi raya nanti lagi penuh.
“Mereka siap ‘cop’ tempat dengan menggunakan kotak atau macam sedang berkelah. Siap makan-makan lagi. Mereka memang tahu yang orang Melayu dan Islam ini suka bersedekah dan senang kena tipu.
“Jadi bersiap-sedialah dekat Tanah Perkuburan Islam. Pulau Pinang, apa ini ‘weh’. Baru sahaja nak gembira sebab kawasan kubur nampak bersih sangat,” kata penduduk tempatan dikenali sebagai Mia Shahid itu.
Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna Threads merasa cukup ‘panas hati’ dengan permandangan sedemikian namun mengakui sikap penduduk tempatan yang terlalu permurah turut menjadikan kegiatan tersebut terus berleluasa.
Ramai juga pengguna berharap agar penduduk tidak lagi menyokong kegiatan itu dengan berhenti memberi sedekah kepada mereka sebaliknya memilih alternatif lebih baik untuk beramal seperti kepada anak yatim atau golongan kurang upaya (OKU).
“Orang kita yang kurang pandai, bantu meramaikan lagi peminta sedekah. Apabila orang kata jangan mula beri, dikatakan itu perkara baik. Akhirnya jadi buruk tempat kita dengan kelakuan mereka, siap berkelah lagi dekat kubur,” kesal seorang pengguna.
“Mana pergi jabatan agama? Mana imigresen? Mana pihak pengurusan kubur itu sendiri?.” Soal pengguna lain yang berharap agar pihak bertanggungjawab mula bertindak untuk membanteras masalah tersebut dari terus berleluasa.
Beberapa penduduk tempatan lain turut meninggalkan komen mendedahkan lokasi sebenar kejadian berlaku iaitu di tanah perkuburan islam berhampiran dengan Masjid Jamek Hashim Yahaya yang terletak di Kampung Dodol.