Ibu bapa jangan alpa, haram guna duit raya anak walau untuk keperluan mereka sendiri

Oleh MALAYSIADATELINE

Kutipan duit raya kanak-kanak yang diserahkan kepada ibu bapa mereka untuk tujuan simpanan kadangkala boleh menyebabkan segelintir penjaga menjadi apla lalu ‘terguna’ wang yang diamanahkan kepada mereka.

Malah ada juga golongan ibu bapa merasa berhak ke atas duit raya dikumpulkan anak-anak sebagai bayaran kepada perbelanjaan yang sebelum ini dikeluarkan untuk menanggung dan membesarkan mereka.

Namun tahukah anda, duit raya milik anak sebenarnya tidak boleh digunakan oleh ibu bapa mereka sesuka hati walaupun bertujuan menampung perbelanjaan harian keluarga mahupun kanak-kanak itu sendiri.

Permasalahan ini pernah dirungkai oleh pendakwah bebas popular, Ustaz Azhar Idrus yang memaklumkan bahawa hukum ibu bapa menggunakan duit raya anak-anak untuk keperluan peribadi adalah haram.

Menurut pendakwah yang turut mesra dikenali sebagai UAI itu, ibu bapa juga perlulah menggantikan semula duit raya dengan nilai sama sebelum ini dikumpulkan anak jika mereka ‘terguna’ untuk keperluan peribadi.

“Ramai mak ayah sekarang cakap, tidak mengapa guna sebab itu adalah duit anak mereka sendiri. Untuk mereka yang tiada ilmu, boleh kata macam itu. Tetapi sebenarnya hukum guna duit raya anak adalah haram.

“Sekiranya guna juga, mak ayah itu wajib bayar balik. Sebabnya duit raya anak itu adalah hak dia sendiri. Kita memang tak boleh ‘mencuri’ duit anak itu ditambah lagi jika mereka belum baligh,” kata pendakwah itu.

Penjelasan tersebut dibuat oleh Ustaz Azhar dalam satu sesi ceramah selepas menerima soalan mengenainya yang mana sedutan rakamannya turut dikongsikan menerusi satu hantaran video di platform TikTok.

Ustaz Azhar turut menegaskan bahawa duit raya itu adalah hak anak manakala harta atau wang ibu bapa pula merupakan milik mereka sendiri dan tidak boleh diambil oleh orang lain tanpa mendapatkan keizinan.

Kanak-kanak yang masih belum baligh juga tidak boleh memberikan keizinan dan agama Islam tidak mengajar umatnya untuk mengambil hak orang lain mahupun menggunakannya tanpa mendapatkan kebenaran.

“Ambil (duit raya anak) untuk disimpankan, boleh. Tetapi kalau ambil dan dibelanjakan tanpa izin mereka tak boleh. Tambah lagi kanak-kanak yang belum baligh ini tidak sah sekiranya mereka memberikan izin.

“Sebab itulah kalau adanya kematian, jangan guna duit si mati untuk buat tahlil jika anaknya (yatim) masih ada lagi. Tidak boleh guna kerana majlis tahlil itu bukan satu kewajipan. Hukumnya harus sahaja untuk buat tahlil.

“Anak yang masih kecil ditinggalkan oleh si mati, tidak sah memberi izin. Kalau anak dia (si mati) sudah besar, tidak ada masalah.” Jelas pendakwah itu lagi dalam rakaman berdurasi dua minit 15 saat tersebut.

Baca juga: Bila ramai sangat balik kampung, individu kongsi idea kreatif guna khemah jadi ‘bilik’ tambahan