Fenomena El Nino berintensiti kuat dijangka kembali melanda dunia termasuk Malaysia, sekitar pertengahan tahun ini.
Pakar meramalkan kebarangkaliannya melebihi 70 peratus dan meningkat sehingga 80 hingga 90 peratus menjelang penghujung 2026.
Fenomena itu dijangka bermula sekitar Julai hingga Ogos, menurut Felo Akademi Sains Malaysia, Profesor Dr Fredolin Tajudin Tangang.
“Fasa peralihan monsun ini biasanya membawa keadaan cuaca yang didominasi sistem perolakan tempatan yang menyebabkan ribut petir dan hujan lebat dalam tempoh singkat serta berpotensi mencetuskan banjir kilat, khususnya di pantai barat Semenanjung Malaysia.
“Dalam tempoh ini juga, keadaan cuaca negara dipengaruhi oleh fenomena Ayunan Madden-Julian (MJO) yang boleh menyebabkan cuaca panas apabila perolakan terhalang, sekali gus mengurangkan pembentukan awan dan hujan,” katanya memetik Sinar Harian.
Menurut Fredolin, keadaan panas yang berlaku ketika ini terutama di utara Semenanjung Malaysia adalah disebabkan dominasi tekanan atmosfera tinggi susulan fasa perolakan terhalang MJO di rantau Asia Tenggara.
“Situasi ini meningkatkan pancaran matahari ke permukaan bumi dan mengurangkan proses penyejukan melalui penyejatan, sekali gus berpotensi mencetuskan gelombang haba.
“Namun keadaan ini biasanya bersifat sementara dan berubah dalam tempoh satu hingga dua minggu,” ujarnya.
Baca juga: “Saya halalkan setiap sen” – Isu haram guna duit raya anak bertukar jadi luahan menyentuh hati