Adira Suhaimi kongsi gambar jejaka misteri, peminat menanti dengar khabar gembira

Oleh MALAYSIADATELINE

Tindakan penyanyi, Adira Suhaimi memuat naik gambar seorang jejaka misteri yang segak berbaju Melayu di akaun Instagram peribadi miliknya telah berjaya mencuri perhatian peminat baru-baru ini.

Mana tidaknya, Adira juga bertindak menyunting foto lelaki terbabit agar identiti sebenarnya tidak diketahui ramai sekali gus membuatkan peminat tertanya-tanya mengenai status hubungan mereka berdua.

Penyanyi berusia 34 tahun terbabit turut memuat naik gambarnya sendiri dalam hantaran sama namun foto mereka sepertinya diambil secara berasingan dengan meletakkan kapsyen ringkas, ‘Okay, janji terakhir’.

Rata-rata peminat membuat andaian bahawa jejaka berambut panjang itu memiliki status istimewa dalam hati pemilik nama sebenar Siti Adira Suhaimi berikutan perkongsian tersebut dibuat secara terbuka.

Mereka juga tidak sabar menantikan khabar gembira daripada ibu tunggal empat anak itu dan mengirimkan doa agar penyanyi kegemaran mereka dapat meraih kebahagiaan dengan kehadiran ‘orang baharu’.

“Alhamdulillah. Sudah pusing-pusing, berhenti dekat sini ya kakak? Kita doakan yang baik-baik sahaja untuk kakak. Awak berhak mendapatkan yang terbaik,” kata seorang peminat dalam ruangan komen.

“Sepadan dengan Adira Suhaimi. Jodoh lebaran kan. Tak sabar nak tunggu nasi minyak,” kongsi individu lain yang dipercayai mengetahui identiti sebenar jejaka misteri kini berada di ‘sisi’ penyanyi terbabit.

Adira sebelum ini pernah berkongsi rakaman keluarga kecilnya dari arah belalang ketika sedang menyaksikan pertunjukan bunga api yang mana jejaka sama dilihat mendukung salah seorang anak penyanyi itu.

Sekadar info, Adira pernah mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan sensasi iaitu Datuk Seri Adnan Abu di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 lalu sebagai isteri kedua.

Perkahwinan mereka bagaimapun berakhir apabila Adira memfailkan perceraian terhadap usahawan yang juga dikenali sebagai Datuk Red itu pada Oktober 2023 sebelum disahkan berpisah pada April 2024.

Hasil perkongsian hidup bersama selama sembilan tahun, mereka berdua dikurniakan dengan kehadiran empat cahaya mata iaitu Anggrek, 8; Asan, 7; Anggun, 6; dan Ayob yang kini berusia 3 tahun.

Baca juga: “Janji nak transfer balik, rupanya guna nombor orang lain” – Individu dedah perkara sebenar