Padah buat hantaran hina Nabi di Facebook, lelaki ditahan polis

Oleh KIM SYAZIE

Tular di Facebook baru-baru ini seorang lelaki warganegara Malaysia didakwa membuat hantaran menghina Nabi Muhammad SAW.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya telah menahan lelaki berusia 47 tahun, itu di Butterworth, Pulau Pinang.

Hantaran menghina itu dipercayai dilakukan oleh pemilik akaun menggunakan nama “Sakti Sakti Sakti”.

Polis mengesahkan telah menerima laporan berhubung hantaran tersebut pada 1.30 pagi, Ahad lepas sebelum menahan lelaki itu.

“Turut dirampas sebuah telefon bimbit jenis Vivo 29T yang dipercayai digunakan untuk memuat naik kenyataan berkenaan,” katanya dalam kenyataan seperti dilapor Bernama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan suasana tidak harmoni atau permusuhan atas alasan agama, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

Fadil turut menasihati orang ramai supaya tidak memuat naik atau berkongsi kandungan yang menyentuh sensitiviti agama, kaum dan institusi diraja (3R) me media sosial sehingga boleh menjejaskan keharmonian negara.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang,” katanya.

Baca juga: Anak 7 tahun merajuk nak beg raya, Aliff Syukri ‘keluar modal’ cecah RM20,000 nak pujuk