Perkongsian seorang individu yang mendakwa selebriti, Bella Astillah menghalang anak-anaknya bertemu bapa mereka iaitu penyanyi asal Singapura, Aliff Aziz telah berjaya mencuri perhatian orang ramai baru-baru ini.
Mana tidaknya, individu terbabit juga menyifatkan Bella sebagai seseorang yang ‘gedik’ kerana lebih memilih untuk mempertemukan anak-anaknya dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq berbanding bapa mereka.
Perkongsian tersebut dimuat naik di platform media sosial Threads baru-baru ini sekali gus mengundang pelbagai reaksi sehingga mencetuskan perbincangan hangat netizen yang membanjiri ruangan komen.
“Gedik betul Bella Astillah. Anak-anak tak bagi bekas suami langsung, sudah bertahun-tahun. Tak nak bagi anak-anak keliru, katanya. Bawa jumpa Syed Saddiq menggatal, boleh pula,” dakwa individu terbabit.
Dakwaan dilemparkan oleh individu itu bagaimanapun diselar oleh pengguna Threads yang mana rata-ratanya bersetuju bahawa Bella sememangnya berhak ke atas anak-anaknya kerana memiliki hak penjagaan penuh.
Ramai juga pengguna berkongsi pandangan bahawa Aliff boleh sahaja bertemu dengan anaknya ketika Bella membawa mereka ke Singapura atas urusan perniagaan baru-baru ini namun peluang itu disia-siakan.
Perbincangan hangat itu turut mendapat perhatian daripada adik kepada Bella, Didi Astillah yang tampil mempertahankan kakaknya menerusi hantaran di ruangan komen perkongsian tersebut.
Didi yang juga bergelar penyanyi itu meluahkan rasa kesal apabila individu yang tidak mengetahui perkara sebenar di sebalik konflik keluarga mereka dengan mudah membuat kesimpulan sendiri.
“Apabila jenis nak masuk campur urusan hidup orang tetapi tak tahu cerita sepenuhnya.” Kesal Didi atau nama sebenarnya, Dayang Nazilah Awang Astillah menerusi ruangan komen hantaran berkenaan.

Terdahulu, Bella mendirikan rumah tangga dengan Aliff pada 9 September 2016 dan pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean, 9, dan Ara Adreanna yang kini berusia enam tahun.
Perkahwinan mereka bagaimanapun sering dilanda konflik berkaitan isu curang sebelum bercerai talak satu pada 16 Mei 2019 di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan namun rujuk semula dalam tempoh idah.
Rumah tangga mereka bagaimanapun kembali dilanda badai apabila Aliff terlibat dengan kes khalwat bersama pelakon wanita yang juga rakan baik Bella membawa kepada penceraian mereka pada 13 Jun 2024.
Aliff juga bersetuju menyerahkan hak penjagaan penuh dua anaknya kepada Bella kerana menganggap wanita itu sebagai individu paling layak dan keputusan dibuat adalah muktamad serta dipersetujui kedua-dua belah pihak.
Baca juga: Padah buat hantaran hina Nabi di Facebook, lelaki ditahan polis