Bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik kekal sebagai satu-satunya wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memenangi kerusi menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada kali ini.
Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Facebook, Maszlee menekankan bahawa kemenangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa pada malam tadi bukanlah satu kebanggaan untuk dimegahkan.
Sebaliknya, kejayaan tersebut merupakan hasil manifestasi kepercayaan yang harus dijunjung dengan penuh keinsafan dan hadir bersama satu tanggungjawab cukup besar dalam memegang amanah rakyat Puteri Wangsa.
Sehubungan dengan itu, beliau memohon doa daripada orang ramai agar diberikan kekuatan untuk memikul amanah yang cukup berat dalam membela nasib rakyat serta membawa suara Keadilan di Johor.
“Terima kasih kerana menitipkan kepercayaan dan meletakkan amanah sebesar ini di atas bahu saya. Suka untuk saya renungkan bersama kata-kata Hujjatul Islam, Imam Al-Ghazali.
“Apabila beliau ditanya, ‘Apakah benda yang paling berat di dunia ini?’. Beliau menjawab, “Yang paling berat di dunia ini bukanlah gunung atau besi, tetapi yang paling berat adalah Amanah.” Kemenangan ini adalah amanah yang sangat berat.
“Saya memohon doa daripada kalian semua, agar saya diberikan kekuatan oleh Allah SWT untuk memikul ko amanah ini, membela nasib rakyat Puteri Wangsa, dan membawa suara Keadilan di bumi Johor dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Beliau yang juga ketua PKR Cabang Simpang Renggam itu juga tidak lupa untuk menyampaikan penghargaan kepada kepimpinan parti termasuk Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas dukungan diberikan mereka.
Sokongan padu yang diberikan oleh seluruh kepimpinan akar umbi, pasukan media dan jentera parti termasuk daripada Ketua Cabang serta pasukan mereka dalam membantu menyemarakkan kempen beliau juga cukup dihargai.
“Ucapan terima kasih ini saya panjangkan kepada seluruh jentera pilihan raya, tidak kira jentera tempatan mahupun jentera luar yang sanggup turun dari jauh, berkampung dan bekerja keras dari awal kempen bermula sehinggalah ke garisan penamat. Tenaga kalian tidak ternilai harganya.
“Buat isteri tercinta dan seluruh ahli keluarga, terima kasih atas doa yang tidak pernah putus, pengorbanan masa, dan kesabaran yang luar biasa dalam mendepani onak duri perjuangan ini bersama-sama saya.” Ujarnya lagi.
Sekadar info, Maszlee memenangi kerusi tersebut dengan meraih majoriti 5,744 selepas mengumpul 41,821 undian sekali gus mendahului calon Barisan Nasional (BN), Teow Chia Ling yang mendapat 36,077 undi .
Manakala calon MUDA iaitu Rashifa AlJunied pula berjaya memperoleh sebanyak 5,887 undi selain wakil daripada parti lain iaitu Bersama, Nicholas Paul Vincent dengan 2,332 undian serta calon bebas, Wang Wee Siong (227).
Baca juga: Anwar ucap tahniah kepada BN, seru semua pihak bersama bina Johor lebih makmur