Seorang wanita meluahkan rasa kecewa selepas tempahan makanan untuk 150 orang bagi majlis tahlil arwah kakaknya didakwa gagal disiapkan seperti dijanjikan.
Menerusi perkongsian di Threads, wanita dikenali sebagai Mas Najwa berkata, makanan berkenaan diinfaqkan oleh seorang individu dan sepatutnya dihantar selepas solat Isyak.
Bagaimanapun, menurutnya, pihak katering hanya memaklumkan pada jam 9.23 malam bahawa nasi bersama lauk yang siap hanyalah untuk 31 orang, manakala lauk sahaja mencukupi untuk 55 orang.
“Nasi yang selebihnya tak dapat sebab nasi kami jelantah, periuk rosak untuk kali kedua masak.
“Kalau cik okay dengan jumlah ini, saya hantar, tetapi tidak boleh dikembalikan wang,” demikian mesej yang didakwa diterimanya daripada pihak katering.
Wanita itu berkata, kelewatan memaklumkan masalah tersebut menyebabkan dia tidak mempunyai masa untuk menyediakan nasi sendiri atau mencari alternatif lain.
“Kalau dia beritahu dari awal, saya boleh tahu sama ada hendak masak nasi atau fikir untuk tempah nasi di tempat lain. Ini tidak, dia maklumkan pukul 9.23 malam untuk tahlil yang diadakan selepas Isyak.
“Orang itu tempah 150 pax. Katerer ini dapat buat 31 pax sahaja dan sebut ‘tidak boleh dikembalikan wang’,” katanya.
Berdasarkan tangkap layar perbualan yang dikongsikan, wanita itu turut memaklumkan bahawa tetamu majlis tahlil sudah pulang, manakala makanan yang belum dihantar pada waktu itu dikhuatiri hanya akan tiba sekitar jam 11 malam.
Susulan perkongsian tersebut menjadi tular, wanita itu memaklumkan pihak berkenaan kemudian menawarkan bayaran balik kepada individu yang menginfaqkan makanan berkenaan.
Bagaimanapun, berdasarkan mesej yang dikongsikan, bayaran balik yang ditawarkan didakwa berjumlah RM200, manakala RM100 lagi dinyatakan sebagai caj penghantaran dan kos memasak.
“Orang yang infaq kata dia halalkan. Dia memang orang yang baik,” katanya sambil meminta orang ramai mendoakan arwah kakaknya.
Pada masa sama, wanita itu berharap kejadian tersebut menjadi pengajaran kepada pihak terlibat agar lebih terbuka menerima teguran dan menilai semula tindakan yang dilakukan.
Setakat perkongsian itu dibuat, dakwaan berkenaan adalah berdasarkan pengalaman serta tangkap layar perbualan yang dikongsikan wanita terbabit di media sosial.
Baca juga: Anwar ucap tahniah kepada BN, seru semua pihak bersama bina Johor lebih makmur