Seorang wanita meluahkan rasa terkejut apabila mendapati kuota subsidi Budi Madani RON95 (BUDI95) miliknya habis ‘licin’ didakwa dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Threads, wanita terbabit percaya bahawa kuota subsidi minyak petrol berkenaan dicuri melalui penyalahgunaan kad pengenalan (MyKad) miliknya.
Pemeriksaan transaksi mendapati pembelian dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab di beberapa stesen minyak terletak di Perlis terutama di lokasi berdekatan dengan sempadan negara di Perlis.
Perkara ini membuatkan wanita yang tinggal di Kuala Lumpur itu mensyaki bahawa kecurian kuota subsidi BUDI95 miliknya mungkin mempunyai kaitan dengan aktiviti penyeludupan ke negara jiran.
“Ada pihak tak bertanggungjawab seludup minyak di kawasan sempadan Thailand guna IC (kad pengenalan). Patut tinggal kosong liter. Tolong tularkan perkongsian ini. Saya akan buat laporan polis,” katanya.
Menerusi perkongsian sama, wanita itu turut memuat naik bukti berupa tangkap layar memaparkan transaksi pembelian petrol di beberapa stesen minyak di utara tanah air termasuk di Padang Besar dan Kaki Bukit.
Wanita terbabit turut menggesa orang ramai untuk turut memeriksa sejarah transaksi Budi95 masing-masing dan segera membuat laporan polis sekiranya menemui perkara mencurigakan.
Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati kejadian sama turut dialami orang lain dengan seorang individu tampil berkongsikan pengalamannya apabila kad pengenalannya disalahgunakan oleh warga asing.
Isu itu turut menarik perhatian pekerja stesen minyak yang meninggalkan komen memaklumkan bahawa kuota subsidi sememangnya boleh juga ditebus tanpa menggunakan kad pengenalan fizikal.
“Saya pekerja stesen minyak. Sebenarnya boleh guna nombor MyKad sahaja. Tetapi hanya boleh guna sistem melalui mesin BUDI dan hanya juruwang sahaja boleh buat. Jadi kalau jadi macam ini, memang kena terjah stesen itu,” kata kakitangan berkenaan.
“Adik saya kena macam ini juga. Buat laporan polis dan terjah stesen minyak tersebut. Apabila periksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV), rupanya warga asing guna dengan beri nombor kad pengenalan sahaja. Kaunter tak minta MyKad. Jadi dengan kaunter sekali kena maki.” Kongsi pengguna lain.
Baca juga: ‘Upgrade’ dari teh tarik ke kopi O, keadaan air di Machang undang tanda tanya