“Harga Rembayung nak naik ke?” – Jawapan Khairul Aming buat ramai tarik nafas lega

Oleh MAISARAH AISYA

Apabila harga minyak mula meningkat, kebimbangan orang ramai turut memuncak apabila kos sara hidup dijangka terus terkesan.

Tidak terkecuali, ramai mula risau harga makanan di luar juga akan naik secara mendadak, sekali gus memberi tekanan kepada perbelanjaan harian.

Restoran milik pempengaruh dan usahawan, Khairul Aming (KA), iaitu Rembayung menjadi perhatian apabila orang ramai mula bertanyakan mengenai harga makanan dan minuman yang ditawarkan.

Menerusi satu perkongsian di media sosial, seorang pengguna tampil mengajukan soalan sama ada harga di Rembayung akan kekal atau mengalami perubahan dalam masa terdekat.

“Salam Khairul Aming, harga makanan dan minuman di Rembayung masih tetap atau ada perubahan pada masa akan datang,” soal seorang pengguna Threads.

Menjawab persoalan tersebut, Khairul Aming memaklumkan bahawa pihaknya kini masih memantau harga pasaran sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan perubahan harga.

“Setakat ini kita masih tengah monitor harga market semasa. Kalau masih okay kita maintain, kalau naik tinggi mendadak, barulah kita buat perubahan kalau perlu.

“Apa-apa pun, KA akan umumkan nanti. Buat masa sekarang belum ada sebarang perubahan, masih lagi okay,” jelasnya.

Baca juga: Pengurus mayat bawa keranda ke stesen minyak, tunjuk bukti perlu diesel bakar jasad