Tujuh kapal Malaysia dijangka selamat belayar, lalui Selat Hormuz tanpa bayar tol

Oleh MALAYSIADATELINE

Kapal milik Malaysia dijangka belayar dengan selamat melalui Selat Hormuz dalam beberapa hari lagi susulan jaminan daripada Iran di tengah ketegangan yang kian meningkat di rantau itu.

Duta Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi berkata bahawa Tehran sudah dimaklumkan tentang kehadiran kapal-kapal tersebut di Teluk Parsi dengan hasrat mereka untuk melalui laluan perairan strategik itu.

Menurutnya, Iran tidak menghalang kapal dari negara sahabat termasuklah Malaysia untuk melalui perairan tersebut dan turut memberi jaminan bahawa ia boleh digunakan tanpa bayaran tol, lapor New Straits Times.

“Kami menerima maklumat daripada Menteri Luar Malaysia bahawa beberapa kapal Malaysia berada di Teluk Parsi dan ingin melalui laluan tersebut. Kami telah mempertimbangkan perkara ini.

“Insya-Allah mereka akan melaluinya. Tiada masalah kerana Malaysia ialah negara sahabat, dan negara sahabat boleh menggunakan selat ini,” katanya memetik laporan New Straits Times dalam temu bual eksklusif di Kedutaan Iran di ibu negara, semalam.

Terdahulu, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen meminta penjelasan daripada kerajaan sama ada Malaysia turut dikenakan bayaran tol untuk membolehkan kapal dari negara ini melalui Selat Hormuz dengan selamat.

Hal ini ekoran laporan media antarabangsa mendakwa bahawa tentera Iran mewujudkan pusat pungutan tol di selat tersebut dan mengenakan bayaran sehingga AS$2 juta atau sekitar RM8.04 juta.

Valiollah ketika diminta mengulas sama ada kapal-kapal Malaysia akan dikenakan tol memaklumkan bahawa pengangkutan tersebut dibenarkan untuk melalui perairan berkenaan dengan bebas.

“Sudah tentu (kapal Malaysia bebas untuk melalui). Kami tidak akan mengenakan caj,” jelasnya yang turut menekankan bahawa peraiaran itu tidak ditutup sebaliknya dihadkan dengan negara yang terlibat atau menyokong serangan terhadap Iran dilarang melaluinya.

Pada Sabtu lalu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata tujuh kapal tangki milik Malaysia tidak ditahan namun sedang menunggu kebenaran dengan isyarat rasmi untuk melalui Selat Hormuz.

Kapal-kapal berkenaan terdiri daripada tiga milik syarikat Petronas, dua pengangkutan MISC Bhd, serta masing-masing satu milik Sapura Energy dan Shapadu Corporation Sdn Bhd.

Kesemua kapal tersebut sedang menunnggu tempoh laluan selamat untuk meneruskan perjalanan di mana empat daripada pengangkutan tersebut dilaporkan membawa minyak mentah.

Dalam pada itu, Valiollah turut menyifatkan sekatan terpilih tersebut sebagai tindak balas sah terhadap serangan ke atas negaranya baru-baru ini dan menolak dakwaan bahawa selat tersebut ditutup sepenuhnya.

Berhubung isu kenaikan harga bahan api, Valiollah menekankan bahawa Iran secara sejarahnya tidak menutup selat itu walaupun berdepan sekatan selama beberapa dekad, kerana mengambil kira kesan terhadap pasaran global.

Beliau bagaimanapun memberikan bayangan bahawa situasi semasa menunjukkan perubahan pendekatan, dengan negara yang melakukan serangan akan dipersalahkan di atas kenaikan mendadak harga bahan api tersebut.

Baca juga: Bukan kebetulan Iran bagi lalu selat Hormuz, ada jasa lama Malaysia yang masih diingati