Perkongsian seorang wanita yang turut merasa bangga dengan keputusan cemerlang diraih anak saudaranya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah menyentuh hati orang ramai baru-baru ini.
Mana tidaknya dalam kegembiraan, mereka juga turut merasa hiba kerana pencapaian tersebut tidak dapat dikongsi bersama arwah ibu kepada remaja berkenaan yang terlebih dahulu menemui ajal.
Kisah pilu itu dikongsikan menerusi satu hantaran tular dimuat naik di platform Threads oleh wanita dikenali sebagai Jamilah Ismail itu bersama rakaman ketika anak saudaranya mengambil keputusan SPM.
Difahamkan, anak saudaranya yang bernama Arissa itu terlebih dahulu diuji dengan pemergian ibunya selepas bertarung dengan penyakit kanser tiga hari sebelum Hari Raya Aidilfitri yang lalu.
“Tahniah Arissa! Melalui ujian ibu meninggal dunia tiga hari sebelum raya baru-baru ini. Ujian sakit kanser. Jadi tidak sempat mak tengok keputusan SPM kakak!
“Anak saudara yang kehilangan ibu, sedih bercampur gembira apabila dapat keputusan 8A. Tiap kali tengok (video), tak sedar air mata mengalir,” ujar Jamilah dalam perkongsian tersebut.
Jamilah dalam hantaran sama turut berkongsi rakaman memaparkan suasana sebak sewaktu Arissa menerima keputusan tersebut sebelum dipeluk oleh rakan-rakan serta ahli keluarganya.

Setakat artikel ini ditulis, perkongsian tersebut sudah dibanjiri dengan komen ucapan tahniah daripada rata-rata pengguna Threads yang merasa tumpang bangga dengan keputusan cemerlang diraih Arissa.
Mereka turut merasa hiba dengan ujian dilalui Arissa serta mengirimkan doa untuk remaja berkenaan agar dipermudahkan urusan, dikuatkan semangat dalam meneruskan kehidupan serta meraih kejayaan kelak.
Baca juga: “Harga Rembayung nak naik ke?” – Jawapan Khairul Aming buat ramai tarik nafas lega