Harga petrol naik! Ibrahim Ali ajak rakyat turun jalan raya ahad ini

Oleh ROSLAN ZAMAN

Presiden Parti Putra, Ibrahim Ali menggesa orang ramai supaya turun beramai-ramai menyertai himpunan membantah kenaikan harga minyak yang dijadual berlangsung Ahad ini di hadapan Sogo.

Menurut beliau, perhimpunan pada 5 April itu bukan sekadar satu acara biasa, sebaliknya menjadi simbol kebangkitan rakyat yang masih mempertahankan maruah diri, berbanding mereka yang memilih untuk terus berdiam diri walaupun berdepan tekanan kos hidup yang semakin meningkat

“5 April bukan sekadar satu himpunan. Ini adalah garis pemisah antara rakyat yang masih ada harga diri, dengan mereka yang sudah reda hidup sebagai hamba tanpa suara.

“Jangan tunggu orang lain. Jangan tunggu keadaan jadi lebih teruk. Kerana setiap saat kamu menunggu, mereka sedang merancang tekanan seterusnya untuk kamu dan keluarga kamu,” katanya dalam kenyataan semalam.

Ibrahim Ali atau lebih dikenali sebagai Tok Him turut mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil sikap tunggu dan lihat kerana kelewatan bertindak hanya akan membuka ruang kepada lebih banyak tekanan terhadap rakyat pada masa depan. Katanya, kehadiran atau ketiadaan rakyat dalam himpunan itu akan mencerminkan pendirian masing-masing terhadap isu yang sedang berlaku

“Jika kamu tidak hadir, mesej yang KAMU hantar sangat jelas, buatlah apa sahaja kepada aku, aku akan tetap diam dan bila harga terus naik, bila hidup terus menghimpit, bila anak kamu membesar dalam tekanan yang sama, jangan salahkan sesiapa. Kerana pada saat kamu dipanggil untuk berdiri, kamu sendiri yang memilih untuk duduk.

“Ini bukan soal politik. Ini soal maruah seorang manusia yang tidak sanggup lagi hidup dipijak tanpa had,” katanya