Baru-baru ini tular perkongsian tentang kejadian yang berlaku di sebuah hospital berpunca daripada sikap terburu-buru seorang suami melafazkan taklik kepada isterinya sebelum melahirkan anak mereka.
Mana tidaknya akibat daripada kejadian tersebut, pihak hospital terpaksa menghalang lelaki berkenaan masuk ke dalam wad untuk mengazankan bayi kerana khuatir talak sudah jatuh serta-merta selepas anak dilahirkan.
Kejadian tersebut didedahkan individu yang bergelar doktor pelatih ketika insiden itu berlaku menerusi satu perkongsian dimuat naik di platform Threads sebagai pengajaran buat orang ramai khususnya para suami.
Menurut individu itu, semuanya berpunca daripada keinginan suami yang tidak mahu isterinya diperiksa oleh doktor lelaki sehingga tergamak melafazkan taklik dalam keadaan wanita berkenaan sedang sarat hamil.
“Pernah menghadap suami pesakit yang meminta isterinya tidak diperiksa oleh doktor lelaki. Siap cakap dekat isteri dia, nak cerai talak satu kalau ada doktor lelaki periksa. Aku lagi suka sebab tak perlu periksa.
“Tetapi sebab ‘contraction’ banyak sangat, aku hantar pesakit itu pergi ke dewan bersalin terus tanpa periksa. Nak dijadikan cerita lewat malam itu, jantung bayinya semakin laju. Doktor yang ‘on-call’ masa itu lelaki.
“Nak tak nak, dia datang periksa dan teruskan dengan pembedahan ceaseran. Selepas bayi keluar, kami tak benar bapanya datang azan bayi. Sebab sudah jatuh talak. Nak jaga dalam wad juga tak boleh,” kongsinya.
Difahamkan, pihak hospital tidak mengambil tindakan sedemikian sesuka hati sebaliknya sudah merujuk kepada agamawan yang menasihatkan agar pasangan suami isteri itu dipisahkan secara sementara.
Suami terbabit juga dilarang untuk melawat isterinya kerana dikhuatiri melanggar batas dan perbincangan lanjut mengenai status hubungan mereka perlu dibuat selepas wanita berkenaan keluar dari hospital.
“Kejadian berlaku tengah-tengah malam. Perlu dibicara secara terang-terang. Jadi ikut nasihat ustaz, pisahkan dahulu. Perlu utamakan bayi dengan ibu,” ujarnya yang berkongsi pengalaman sebagai doktor lelaki.
Larangan dipercayai dibuat kerana berdasarkan hukum syarak, idah untuk wanita mengandung tamat secara serta-merta sebaik sahaja bayinya dilahirkan tanpa mengira tempoh kehamilan.
Baca juga: Boleh ‘work from home’ 3 hari seminggu, penjawat awam kena tahu syarat ini dahulu