Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin tidak menolak kemungkinan akan menyertai salah satu parti dalam Perikatan Nasional (PN) untuk meneruskan perjalanan politiknya bersama gabungan berkenaan.
Beliau yang juga Bekas Timbalan Presiden Bersatu itu memaklumkan bahawa telah timbul kekeliruan dalam kenyataan dikeluarkannya sebelum ini berhubung istilah ‘rumah baharu’.
Menurutnya, istilah itu tidak semestinya bermaksud pihaknya akan menubuhkan parti baharu sebaliknya mungkin meneruskan wadah politiknya bersama komponen lain dalam gabungan PN, lapor Berita Harian.
Perkara itu dimaklumkan Hamzah ketika ditemui pihak media di program Pidato Penyatuan Ummah sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah ke-lima dan Himpunan Alam Melayu 2026 di pekarangan Kompleks Sukan di Kuala Nerus, Terengganu semalam.
“Kekeliruan timbul apabila kita menggunakan istilah ‘rumah baharu’. Sedangkan ia tidak semestinya merujuk kepada parti yang baharu ditubuhkan secara rasmi.
“Apabila kita kata rumah baharu, tanda tanya timbul adakah kita akan menubuhkan parti baharu ataupun parti yang sedia ada. Jawapannya adalah tidak semestinya parti yang baharu ditubuhkan,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Hamzah yang juga merupakan Ahli Parlimen Larut itu berpendapat bahawa tidak menjadi satu kesalahan jika pihaknya memilih untuk menyertai PAS ketika diminta pihak media mengulas dakwaan tersebut.
Hal ini berikutan Hamzah memberi bayangan bahawa parti politik yang bakal disertainya selepas ini mungkin sudah menjadi salah satu komponen dalam gabungan berkenaan.
“Ya, kemungkinan parti yang sedia ada. Insya-Allah, apa salahnya menyertai Pas. Pada saya, itu rumah baharu. Tetapi rumah itu mungkin sudah tersedia ada. Menyertai ataupun sudah ada dalam PN?.
“Sebab itu saya kata tadi, kita kena tunggu. Parti baharu saya tetapi parti itu mungkin sudah ada dalam PN,” jelasnya yang sebelum ini dipecat oleh Bersatu kerana didapati melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti itu.
Walaupun tindakannya dipertikaikan segelintir pihak di dalam parti lamanya, Hamzah tetap bertegas untuk kekal bersama PN dan mendakwa menerima sokongan daripada 19 Ahli Parlimen Bersatu.
Baca juga: “Saya lindungi mereka daripada kejahatan” – kenyataan bekas isteri Que Haidar cetus persoalan