Ramai ingat boleh tambah had BUDI95, Kementerian Kewangan tampil jelaskan perkara sebenar

Oleh MALAYSIADATELINE

Kementerian Kewangan (MoF) menegaskan bahawa dakwaan berhubung kewujudan permohonan umum bagi tambahan had subsidi BUDI MADANI RON95 (BUDI95) adalah tidak benar dan tidak berasas.

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan semalam, fungsi permohonan tambahan yang pernah wujud pada awal pelaksanaan program itu bukan bertujuan untuk kegunaan peribadi.

“Dakwaan mengenai permohonan umum bagi tambahan had subsidi BUDI MADANI RON95 (BUDI95) adalah sama sekali tidak benar dan tidak berasas,” tegas kenyataan berkenaan.

MoF turut menjelaskan bahawa kemudahan tersebut telah disalah tafsir sebagai ruang untuk memohon peningkatan had secara bebas oleh orang ramai.

“Walaupun fungsi ini diwujudkan pada awal pelaksanaan BUDI95, ia bukan bertujuan untuk permohonan tambahan atas keperluan peribadi.

“Sebaliknya bagi kes tertentu dengan keperluan operasi yang jelas dan disahkan, seperti pemandu e-hailing dan pemilik bot, tertakluk kepada kriteria yang ditetapkan.

“Fungsi permohonan tambahan dalam portal BUDI95 telah disalah tafsir sebagai ruang untuk memohon peningkatan had kelayakan secara bebas.

“Susulan itu, butang permohonan ini telah dinyahfungsikan,” jelas kenyataan itu.

Dalam masa sama, kerajaan mengekalkan had kelayakan subsidi sebanyak 200 liter sebulan, yang disifatkan mencukupi bagi majoriti pengguna di negara ini.

“Had kelayakan BUDI95 sebanyak 200 liter sebulan kekal berkuat kuasa bagi memastikan subsidi disasarkan kepada majoriti rakyat,” tambah kenyataan berkenaan.

Menurut data, sebanyak 90 peratus pengguna BUDI95 menggunakan petrol dalam lingkungan had tersebut.

Dengan harga bersubsidi RM1.99 seliter, pengguna boleh memperoleh sehingga RM398 sebulan, dengan kerajaan menanggung sekitar RM500 subsidi bagi setiap penerima.

Kerajaan turut memberi jaminan akan terus memantau keadaan pasaran tenaga global serta memperkukuh penguatkuasaan bagi membendung ketirisan, di samping membuat penyesuaian sewajarnya demi kepentingan rakyat.

Baca juga: Rakyat Iran Bentuk “Rantai Manusia” Lindungi Infrastruktur Negara Selepas Ugutan Trump