“Rakyat kita sudah jadi zionis?” – Caprice hairan perjuangan Sumud Flotilla dipertikai

Oleh MALAYSIADATELINE

Pempengaruh dan aktivis sosial, Caprice meluahkan rasa hairan apabila perjuangan para sukarelawan misi kemanusiaan, Global Sumud Flotilla 2.0 (GSF 2.0) mula dipertikaikan oleh masyarakat tempatan.

Menerusi perkongsian video dimuat naik di platform Threads, Caprice meminta penjelasan bagaimana inisiatif bantuan untuk rakyat Palestin yang dahulu disokong masyarakat kini malah dipandang negatif.

Pemilik nama sebenar Ariz Ramli yang juga bergelar penyanyi rap itu turut berkongsi kekesalan apabila para sukarelawan juga menjadi sasaran kecaman sedangkan mereka tidak melakukan kesalahan.

Menurutnya, tidak menjadi kesalahan untuk umat Islam menggunakan strategi ‘pemasaran’ demi membebaskan penderitaan rakyat Palestin yang sehingga kini menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis.

“Boleh tak jelaskan kepada saya kenapa ada banyak sangat maklum balas negatif berhubung misi GSF untuk tahun ini? Sampai ada yang kata kata semua ini wayang atau ‘propa’ sahaja.

“Pada pendapat Caprice. Kalau propa sekali pun, apa salahnya? Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump hari-hari propa demi negara haram Israel. Sama juga dengan Presiden Israel, Benjamin Netanyahu.

“Jadi apa salah kalau orang Islam buat ‘marketing’ untuk Gaza? Kenapa orang kita, umat Islam sendiri mula pertikaikan perjuangan GSF? Kenapa? Apa salahnya. Demi Palestin, apa salahnya,” kesal Caprice.

Perkara yang lebih membuatkan Caprice terkejut adalah apabila bekas wartawan, pempengaruh dan aktivis kemerdekaan Palestin iaitu Zainal Rashid Ahmad turut ‘dihentam’ di platform media sosial.

Hal ini membuatkan Caprice tertanya-tanya mengenai punca perkara tersebut berlaku sedangkan masyarakat Malaysia sememangnya berpegang teguh atas solidariti untuk membela nasib rakyat Palestin.

“Saya tak faham. Adakah rakyat kita sudah mula tukar menjadi Zionis juga? Mungkinkah segelintir pihak ini ‘terasa’ apabila umat Islam dan orang ramai berusaha menyokong pembebasan Palestin? Apakah puncanya?.” Soalnya.

Baca juga: Imam mengaku bersalah rakam adik ipar mandi, didenda RM8,000