B40 kalau datang open house suka ‘mentekedarah’… netizen banding sikap B40 & T20 cetus perdebatan

Oleh KIM SYAZIE

Kritikan pedas seorang pengguna Threads yang membandingkan sikap golongan B40 dan T20 ketika menghadiri jamuan rumah terbuka, menjadi perbincangan hangat di media sosial.

Menurut pengguna itu, dari pemerhatiannya, golongan T20 kebiasaannya akan mengambil makanan sekadar cukup-cukup sahaja dan memikirkan orang di belakang.

Sebaliknya bagi golongan B40, dia menggambarkan mereka seperti ‘mentekedarah’ di rumah orang tanpa memikirkan tetamu lain.

“Kalau buat rumah terbuka ni, kalau yang datang tu T20, memang kau akan tengok mereka ambil makanan sekadar cukup atau hadir sekadar memenuhi undangan.

“Tapi kalau yang datang tu golongan B40, B20, kau akan nampak persepsi lain. Aku tak nak tulis, tapi korang sendiri tahu.

“Sate tu kalau hidang 100 cucuk, 100 cucuk tu untuk dia seorang sahaja dan keturunan dia, siap untuk nenek dia dalam kubur,” kata pengguna tersebut.

Perkongsian tersebut menjadi perhatian dan tular di media sosial. Ia mendapat reaksi pelbagai dari pengguna media sosial.

Walaupun kritikan itu pedas, namun isu utama adalah sikap tamak segelintir tetamu yang sering pentingkan diri sehingga membuatkan orang luar sendiri membandingkan sikap B40 dengan T20.

Mereka juga berpendapat ia bukan soal status kaya atau miskin, tetapi soal adab dan cara bawa diri ketika menghadiri sesebuah majlis.

Ada juga yang menegur sikap “tapau” makanan ketika tuan rumah sendiri tidak menawarkan tetamu membawa balik makanan ke rumah.

“Yang buat orang pandang serong bukan sebab status T20 atau B40, tapi cara bawa diri. Ada yang makan berhemah, ada yang ambil sampai berpinggan-pinggan, malah siap bungkus tanpa segan. 

“Lagi pelik bila tuan rumah belum izinkan, tapi plastik dah standby dari awal. Kalau tuan rumah tawarkan untuk bungkus, itu rezeki dan tanda ikhlas. 

“Tapi kalau tetamu sendiri yang rancang nak tapau, itu dah jadi ambil kesempatan. Akhirnya, bukan makanan yang jadi isu tapi adab. Sebab dalam majlis macam ini, orang akan ingat perangai lebih lama daripada rasa makanan,” ulas seorang pengguna Facebook Fat Deadpool.

Baca juga: Rembayung bertukar ‘dewan kahwin’, Syed Saddiq dan Bella hangatkan suasana