Lelaki Bergilir-Gilir Teguk Minyak Enjin Dalam Masjid

Oleh ROSLAN ZAMAN

Kecoh satu video di media sosial memaparkan sekumpulan jemaah lelaki meminum minyak pelincir kenderaan secara bergilir-gilir.

Menurut laporan CNN Indonesia, kejadian itu dipercayai berlaku di sebuah masjid di Makassar, Sulawesi Selatan.

Video berkenaan dimuat naik di platform TikTok oleh pengguna dengan nama akaun @agusbudiman998, yang menunjukkan beberapa lelaki menuang cecair dipercayai minyak pelincir ke dalam cawan plastik sebelum meminumnya.

Susulan kejadian itu, Setiausaha Majelis Ulama Indonesia (MUI) Sulawesi Selatan, Muammar Bakry menegaskan bahawa perbuatan tersebut adalah haram kerana boleh memudaratkan kesihatan.

Dalam masa sama, pihak Jabatan Kesihatan tempatan dilaporkan telah menggerakkan pasukan khas bagi mengesan individu yang terlibat serta memantau keadaan mereka bagi mengelakkan sebarang risiko kesihatan serius.