Penumpang MAS kena halau selepas sentuh bahagian sulit pramugari

Oleh ROSLAN ZAMAN

Sebuah video tular di media sosial memaparkan seorang pelancong lelaki didakwa bertindak tidak sopan terhadap seorang pramugari sehingga mencetuskan kemarahan ramai.

Kejadian yang berlaku di dalam pesawat Malaysia Airlines itu pada mulanya berlaku perbalahan antara pelancong tersebut dan seorang pramugari dalam bahasa Mandarin.

Bagaimanapun, pelancong tersebut difahamkan tidak mahu turun dari pesawat meskipun telah diarahkan berbuat demikian sehingga memaksa petugas keselamatan penerbangan membawa lelaki itu keluar.

Dalam rakaman yang dimuat naik oleh pempengaruh Caprice di media sosialnya, lelaki berkenaan dikatakan menyentuh bahagian belakang badan pramugari, namun dia mempertahankan tindakannya dengan mendakwa hanya menepuk secara ringan dan tidak berniat buruk.

Insiden itu akhirnya membawa kepada tindakan tegas apabila beberapa anggota keselamatan penerbangan tampil mengiringi lelaki tersebut keluar dari pesawat, disaksikan oleh penumpang lain.

Perkongsian itu turut menerima pujian ramai yang menyifatkan tindakan pantas pasukan keselamatan penerbangan sebagai wajar dalam memastikan keselamatan serta ketenteraman kru dan penumpang sentiasa terpelihara.