“Bapa dibuang macam sampah?” – Kisah pakcik ditinggal di hentian bas ini buat ramai naik angin

Oleh MALAYSIADATELINE

Tular di media sosial kisah menyayat hati seorang warga emas yang didakwa ditinggalkan di sebuah hentian bas di Kajang Utama, sekali gus mengundang pelbagai reaksi.

Menerusi perkongsian pengguna dikenali sebagai allynazhrr, kejadian itu disedari ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumah sebelum terlihat seorang lelaki warga emas melambai tangan seolah-olah meminta bantuan.

Menurutnya, dia dan suami berpatah balik kerana tidak sampai hati melihat keadaan lelaki berkenaan yang bersendirian pada waktu malam.

Dalam satu perkongsian, dia mendakwa warga emas tersebut dipercayai ditinggalkan oleh anak sendiri.

Malah, beberapa dakwaan turut dikongsi yang menimbulkan kemarahan orang ramai apabila situasi itu berlaku pada hari raya.

“Anak buang bapanya, menantu tak nak jaga… buang bapa masa hari raya?

“Paling tak tahan bila pakcik tu cakap anak lagi dua orang dekat Australia… tapi bapa dibuang macam sampah,” kongsinya dalam hantaran di Threads.

Dia turut mendakwa warga emas itu berada di lokasi berkenaan dari petang hingga malam, sambil menyatakan,.

“Dari jam 2 petang sampai 11 malam… anak perempuan buang bapa tepi jalan,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, difahamkan pihak polis turut hadir ke lokasi bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian tersebut.

Namun, terdapat percanggahan dakwaan apabila individu dipercayai anak kepada warga emas itu dikatakan memaklumkan bahawa bapanya enggan tinggal di rumah, walaupun jiran mendakwa sebaliknya.

“Polis datang tanya anak kenapa buang bapanya macam tu, katanya bapa dia yang tak nak duduk rumah sedangakan jiran-jiran semua maklum dia yang tak nak jaga bapa dia.

“Lagi sedih masa semua berkerumun anak dia boleh lalu tengok kami berkumpul kt bapa dia dan anak dia pergi macam tu je, kau memang anak tak guna,” kongsinya.

Baca juga: Bekas mat rempit raih 5 angka sebulan lepas tukar hobi merempit kepada konten permotoran di TikTok