Pegawai atasan kantoi berkhalwat dengan janda, cuba sembunyi dalam bilik tapi terbongkar

Oleh KIM SYAZIE

Seorang penjawat awam yang memegang pangkat pegawai atasan, ‘kantoi’ berkhalwat dengan rakan sekerja wanita berstatus janda.

Perbuatan itu terbongkar selepas sebuah rumah di Peringgit, Melaka diserbu Pegawai Penguat Kuasa Agama (PPA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) selepas menerima aduan awam yang mengesyaki berlaku perbuatan maksiat di premis berkenaan.

Menurut sumber, ketika pintu rumah dibuka, wanita berkenaan mendakwa dia hanya seorang diri di rumah.

Namun apabila pemeriksaan lanjut dilakukan, seorang lelaki lengkap memakai baju-T dan berkain pelikat tiba-tiba muncul dari sebuah bilik.

“Wanita itu dipercayai cuba mengelirukan pihak berkuasa kerana panik dengan kehadiran pegawai JAIM.

“Si lelaki yang juga pegawai atasan pula kelihatan profesional apabila disoal dan tenang menjawab setiap soalan termasuk mengaku sudah berkahwin dan masih mempunyai isteri, manakala wanita itu hanya kawannya,” katanya memetik Harian Metro.

Terdahulu, video operasi berdurasi satu minit 19 saat itu turut dikongsikan agensi terbabit di akaun TikTok rasmi Penguat kuasa JAIM.

Video itu memaparkan kedua-dua OYDS disoal siasat sebelum dibawa menaiki van JAIM untuk proses dokumentasi di balai polis dan pejabat JAIM.

Dalam rakaman sama, pegawai penguat kuasa turut memberi amaran bahawa pasangan terbabit tidak akan diberi jaminan sekiranya ditahan kali kedua.

Baca juga: “Fokus harga minyak, diesel dulu” – Fasha Sandha tak mahu panjangkan isu tudung