“Jangan kejar saya!” – Leona dedah detik cemas dikejar di jalan raya

Oleh MAISARAH AISYA

Pempengaruh media sosial, Kasih Iris Leona, meluahkan rasa bimbang dan takut susulan beberapa insiden membabitkan individu yang didakwa mengekori serta cuba mendekatinya ketika berada di jalan raya.

Menerusi perkongsian di media sosial, Leona meminta orang ramai agar tidak mengejar atau mengekori kenderaannya kerana tindakan tersebut bukan sahaja mengganggu, malah membahayakan keselamatannya.

“Tolong jangan ikut atau kejar saya di jalan raya. Sudah beberapa kali berlaku insiden yang benar-benar membuatkan saya tertekan dan takut.

“Tidak mengapa jika anda ternampak saya di jalan dan mahu ambil gambar dari jauh, tetapi tidak wajar untuk memandu sebelah saya, turunkan tingkap, melambai dan mengharapkan saya melakukan perkara yang sama.

“Saya tidak akan berbuat demikian,” ujarnya dalam hantaran di Threads.

Lebih membimbangkan, Leona mendakwa terdapat situasi di mana dia cuba mengelak daripada diekori dalam kesesakan trafik, namun individu terbabit masih muncul berulang kali di sebelah kenderaannya.

“Bayangkan betapa menakutkan apabila saya cuba menjauhkan diri, tetapi individu itu muncul kembali, bukan sekali tetapi beberapa kali,” kongsinya.

Sehubungan itu, Leona merayu agar orang ramai menghormati ruang peribadi dan keselamatannya, selain tidak melakukan tindakan yang boleh mengundang risiko kepada dirinya serta pengguna jalan raya lain.

Baca juga: Siti Nurhaliza terlibat kemalangan jalanraya, ini keadaan terkini