Tindakan bekas pemandu bas meriba teman wanitanya sambil memandu kenderaan itu mengundang padah apabila mereka berdua dijatuhkan hukuman masing-masing setahun dan enam bulan penjara.
Tertuduh iaitu Arif Fahmi Abd. Salam, 36, dan Nur Adila Najwa Ilham Ameerullah, 21, itu turut dikenakan denda sebanyak RM5,000 setiap seorang selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Jasin, hari ini.
Hukuman itu dijatuhkan oleh Majistret Mazana Sinin terhadap pasangan kekasih terbabit selepas mereka mengaku bersalah sejurus selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan pertuduhan, mereka secara bersama-sama sebagai pemandu bas bernombor pendaftaran APE 9588 didakwa telah memandu kenderaan tersebut dengan cara yang merbahaya kepada orang awam.
Perbuatan didakwa dilakukan sekitar pukul 7.30 petang di susur keluar Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bemban, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan yang berada dalam daerah Jasin pada 12 April lalu.
Atas kesalahan tersebut, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Pindaan 2020) yang turut dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, lapor Kosmo.
Nur Adila turut didakwa dengan satu pertuduhan lain dalam prosiding sama kerana telah mengeluarkan kata-kata kesat dan menghina seorang penumpang wanita berusia 44 tahun.
Perbuatan tersebut juga dilakukan di dalam bas Sri Maju Ekspres bernombor pendaftaran sama sehingga mengganggu ketenteraman mangsa kira-kira pada jam 6 petang di hari dan tempat yang sama.
Akibat kesalahan yang dilakukan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 itu, Nur Adila turut dikenakan denda sebanyak RM100 atau 14 hari penjara sekiranya gagal membuat bayaran.
Kesemua hukuman tersebut berjalan dari tarikh sabitan dan pihak mahkamah turut memerintahkan agar lesen memandu milik kedua-dua tertuduh digantung dalam tempoh lima tahun.
Baca juga: ‘Riba’ membawa padah, bekas pemandu bas dan teman wanita direman 4 hari