‘Riba’ membawa padah, bekas pemandu bas dan teman wanita direman 4 hari

Oleh MALAYSIADATELINE

Tindakan seorang bekas pemandu bas ekspres meriba teman wanitanya ketika sedang memandu membawa penumpang mengundang padah apabila pasangan itu ditahan reman selama empat hari bermula hari ini.

Perintah tahanan reman sehingga Ahad itu dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Jasin, Mazana Sinin selepas membenarkan permohonan terhadap kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 36 dan 21 tahun.

Permohonan itu dibenarkan untuk membantu siasatan berkaitan video tular memaparkan seorang lelaki memandu bas sambil meriba wanita di Lebuh Raya Utara Selatan, arah selatan, dekat Bemban, Isnin lalu.

Difahamkan, pasangan kekasih yang berpakaian lokap ‘sedondon’ berwarna ungu itu tiba di pekarangan Mahkamah Jasin sekitar jam 9 pagi dalam keadaan tangan mereka berdua sudah bergari, lapor Kosmo.

Siasatan kes melibatkan perbuatan yang mengundang risiko keselamatan tersebut dijalankan pihak berkuasa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya.

Terdahulu, bekas pemandu bas yang sudah berkahwin itu ditahan bersama kekasihnya pada petang semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin selepas hadir memberi keterangan berkaitan kejadian tular tersebut.

Sebelum ini, tular rakaman memaparkan pemandu bas bertindak memandu dalam keadaan berbahaya apabila meriba kekasihnya sewaktu kenderaan tersebut sedang bergerak sekali gus mengundang amarah ramai.

Bas yang dipercayai turut dinaiki sekitar 24 penumpang itu bertolak daripada Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur ke Larkin Sentral menuju susur masuk kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bemba.

Baca juga: Teringin pandu bas jadi punca diriba, wanita akhirnya tampil jelaskan