Perkongsian seorang isteri yang mengalami tekanan emosi akibat kejadian aneh dipercayai berlaku di sebuah perumahan polis didiaminya bersama suami telah berjaya mencuri perhatian ramai baru-baru ini.
Mana tidaknya, wanita terbabit mendakwa bahawa segalanya berpunca daripada perbuatan aneh jirannya yang turut mendiami perumahan itu kerana cukup gemar menggunting seluar dalam milik suaminya.
Lebih memburukkan keadaan, pelaku juga berani merosakkan seluar seragam polis suaminya di tempat sama (bahagian tengah) apabila tidak lagi menemukan seluar dalam yang masih belum digunting olehnya.
Namun sayangnya walaupun laporan sudah dilakukan kepada pihak atasan, pelaku masih dibenarkan tinggal di perumahan tersebut dengan menggunakan alasan kesihatan meskipun sudah diarahkan untuk berpindah.
“Niat saya mahu keadilan buat suami, diri dan keluarga. Sebab kesihatan mental saya juga. Saya merayu pihak yang bertanggungjawab atau layak untuk menilai kes ini. Seluar dalam suami saya sudah 38 helai digunting. Beserta seluar uniform polis.
“Bukti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) juga ada. Tetapi selepas diarahkan berpindah, pelaku pura-pura depress dan dapat kekal (tinggal sini). Saya ada banyak perkara nak ulas beserta bukti. Terpaksa dedah dekat sini sebab tiada yang dengar suara saya.
“Selepas keluar arahan kena pindah, dia terus beraksi. Pura-pura depressed dan sebagainya. Langsung tak pergi surau. Sekarang sihat pula. Boleh jadi imam siap azan. Macam tiada apa terjadi. Sebelum ini sambung cuti sakit sebab tak nak pindah tempat baru,” kesalnya.
Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Threads itu, wanita terbabit turut mendedahkan rakaman CCTV ketika pelaku yang bergelar imam di surau perumahan tersebut sedang menggunting seragam suaminya.
Difahamkan, suami kepada wanita itu sudah membuat permohonan untuk berpindah ke tempat lain namun tidak diluluskan dan sehingga kini terpaksa tinggal di perumahan yang sama dengan pelaku.
“Dari 2024 kes ini saya tak pernah tularkan. Tak pernah lobi supaya dia dibuang kerja. Kami diam, tahan. Tetapi semakin kami senyap, makin dia naik ‘sheikh’. Mental saya terjejas teruk. Ada laporan doktor dan sebagainya. Mulanya dia mencuri kunci rumah kami.
“Ketika itu, kami menunaikan umrah pada 2023. Dia masuk rumah berkali-kali hingga jumlah seluar dalam suami digunting adalah 38 helai. Kantoi sebab kami tak tahan asyik kena beli seluar dalam baharu. Jadi pasang CCTV, terus tertangkap pelaku.
“Ketika itu, akhir Ramadan pada April 2024. Selepas dia cari timbunan seluar dalam, tiada yang boleh gunting. Jadi dia gunting seluar uniform suami. Kuasa Allah, elok kami pasang CCTV petang. Malam terus dia tertangkap. Berjubah berkopiah sebab nak ke surau. Dia muda dari kami.” Katanya.

Baca juga: Bekas pemandu bas dan kekasih ‘diriba’ dipenjara, denda RM5,000 setiap seorang