Puas hati dengar cara wanita ini tuntut hutang guna ‘debt collector’…dalam sejam kawan bayar hutang, esok terus ‘settle’

Oleh KIM SYAZIE

Seorang wanita berkongsi pengalaman peribadinya menuntut semula wang pinjaman daripada seorang rakan, yang akhirnya selesai hanya dalam tempoh kurang 24 jam menggunakan khidmat ‘debt collector’.

Menerusi satu perkongsian di Threads, wanita itu berkata, rakannya pernah meminjam sebanyak RM5,000 dengan janji untuk membayar semula secepatnya. 

Namun, apabila tiba waktu dia memerlukan wang tersebut, rakannya tidak menghiraukan panggilan telefon dan mesej. 

Situasi itu berlarutan sehingga seorang kenalan mencadangkan dia menggunakan khidmat pengutip hutang sebagai jalan terakhir.

“Pernah ada kawan pinjam duit RM5,000 kata nak bayar dalam masa terdekat. Saya perlu duit bayar cukai jalan dan insurans kereta. 

“Saya mesej mohon bayar. Saya telefon dia tak angkat. Kawan saya nasihat guna khidmat pengutip hutang. 

“Saya Mesej dekat dia ‘ini mesej terakhir saya. Selepas ini sila urus dengan debt collector,” kongsinya.

Tindakan itu ternyata berhasil apabila dalam tempoh sejam selepas mesej dihantar, sebanyak RM1,000 dimasukkan ke dalam akaunnya. 

Keesokan hari, baki RM4,000 pula dijelaskan sepenuhnya.

“Dia telefon saya tak jawab. Dalam sejam masuk RM1,000. Esok masuk RM4,000. Selesai. Saya sekat dia,” tambahnya lagi.

Perkongsian itu mendapat perhatian ramai dan tular sehingga menjadi perbincangan di Facebook.

Netizen membincangkan sama ada tindakan itu berbaloi, termasuk cara pengutip hutang itu bekerja. Mereka bimbang terhadap kemungkinan para pengutip hutang ini menggunakan ugutan yang boleh membahayakan nyawa orang lain.

Tetapi ada juga yang berpuas hati dengan cara sedemikian, selain ada yang bertanya adakah patut untuk mereka mengupah ‘debt collector’ bagi menuntut nafkah tertunggak dari bekas suami.

Baca juga: Isteri tertekan 38 helai seluar dalam, seragam milik suami digunting jiran kuarters polis