Musim haji bagi 1447H/2026M secara rasminya sudah bermula selepas kumpulan pertama jemaah haji Malaysia berlepas ke Tanah Suci Mekah awal pagi ini.
Sebanyak 284 jemaah berlepas pada jam 4.05 pagi tadi menaiki pesawat Malaysia Airlines MH8050 dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz, Madinah pada 7.50 pagi waktu tempatan (Arab Saudi), hari yang sama.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata beliau amat bersyukur dapat meluangkan masa menyantuni dhuyufurrahman (tetamu Allah) yang merupakan kumpulan pertama berangkat ke Tanah Suci bagi menunaikan Rukun Islam kelima itu.
“Setelah kita merancang dan mengadakan pelbagai inisiatif serta program untuk mempersiapkan jemaah haji kita, Alhamdulillah tahun ini perjalanannya sangat baik. Semua jemaah haji melalui satu program yang begitu menyeluruh bukan hanya dari aspek hukum-hakam tetapi juga kesihatan, pemahaman terhadap syariat haji dan sebagainya.
“Jadi pagi ini kita akan membuat pelepasan kepada 284 jemaah haji kita. Alhamdulillah, Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia Osamah Dakhel R Al-Ahmadi turut serta untuk meraikan pelepasan jemaah haji Malaysia,” katanya kepada pemberita seperti dipetik Bernama selepas menghadiri Majlis Mengucapkan Selamat Jalan Kepada Jemaah Haji Malaysia.