Lif asyik rosak, warga emas berkerusi roda terpaksa pakai tangga ‘goyang’ pergi dialisis

Oleh MALAYSIADATELINE

Luahan seorang anak mengenai kesengsaraan dialami bapanya setiap kali perlu mendapatkan rawatan dialisis telah berjaya mencuri perhatian dan mengundang simpati orang ramai baru-baru ini.

Mana tidaknya, warga emas yang berkerusi roda itu terpaksa ‘berjuang’ sehabis tenaga untuk berdiri dan berjalan ekoran perlu menggunakan tangga berikutan lif kediamannya rosak.

Masalah ini mendatangkan cabaran besar buat warga emas yang turut menghidap angin ahmar itu kerana perlu berulang-alik bagi mendapatkan rawatan dialisis sebanyak tiga kali seminggu.

Warga emas itu juga perlu berhadapan dengan risiko keselamatan memandangkan pemegang tangga di kediaman tersebut pula sudah uzur dan tidak lagi stabil sehingga bergoyang setiap kali dipegang.

“Sudah nak masuk dua minggu, lif dekat rumah rosak. Paling kasihan dekat ibu bapa saya yang kedua-duanya perlu memakai kerusi roda. Abah pula sudah hampir 25 tahun kena angin ahmar jadi memang naik kerusi roda sahaja ke mana-mana.

“Abah juga wajib untuk pergi dialisis sebanyak tiga kali seminggu. Terpaksalah gagahkan diri turun tangga. Perkara yang paling bahaya adalah tempat pemegang tangga juga rosak, bergoyang-goyang. Nasib baiklah rumah di tingkat dua sahaja.

“Jadi ku gigihkan juga kudrat untuk hantar kerusi roda dahulu ke bawah. Kemudian perlu naik semula untuk pegang Abah dan turun balik. Kami berdua hampir nak terjatuh,” kesal wanita dikenali sebagai Ninie Brahem dalam perkongsian dimuat naik di platform Threads.

Menerusi perkongsian itu, Ninie turut memuat naik rakaman yang memaparkan kesulitan dialami bapanya ketika menggunakan tangga sehingga terdengar nafas kuat akibat kepenatan dan tentunya menahan kesakitan.

Difahamkan, kediaman flat didiami oleh ibu bapa Ninie itu terletak di kawasan Lembah Pantai dan rakaman dibuat dengan harapan masalah dihadapi penduduk dapat diselesaikan secara secepat mungkin.

“Memang ralat apabila lif rosak. Tetapi paling sakit hati apabila kita ikhtiar turun tangga, namun pemegang besi ini pula bergoyang-goyang. Bayangkan kalau ada kebakaran, semua orang turun tangga. Masa itu punya kecelakaan, benda patah membawa maut,” ujarnya.

Penggunaan tangga itu juga menyebabkan kaki bapa Ninie kesakitan termasuk di bahagian betis sehingga hampir tidak terdaya untuk terus berulang-alik bagi mendapatkan rawatan dialisis.

Baca juga: Dapat kunci terus nak ‘renovate’ rumah ala-ala Pinterest, lelaki kongsi 7 kesilapan selalu dilakukan pemilik rumah