“Tiba-tiba duit masuk RM5,000?” – nampak macam ‘salah transfer’, rupanya taktik scam

Oleh MALAYSIADATELINE

Satu taktik penipuan baharu dikesan semakin menjadi-jadi di Malaysia, memperdaya mangsa melalui helah ‘tersalah transfer’ yang kelihatan seperti kesilapan biasa.

Namun ia sebenarnya boleh mengundang beban hutang tanpa disedari.

Menerusi perkongsian pengguna Threads, Mohammad Amir berkongsi langkah agar tidak tertipu dengan taktik scam terbaharu.

Modus operandi ini bermula apabila mangsa menerima sejumlah wang secara tiba-tiba ke dalam akaun bank, misalnya sekitar RM5,000.

Tidak lama kemudian, mangsa akan dihubungi individu tidak dikenali yang mendakwa telah tersilap memindahkan wang tersebut.

Individu itu kemudian meminta wang berkenaan dipulangkan, namun ke akaun pihak ketiga kononnya milik ahli keluarga.

Tanpa rasa curiga, ada mangsa yang terus memindahkan semula wang tersebut tetapi di sebalik situasi yang nampak seperti kesilapan biasa, ia sebenarnya satu perangkap terancang.

Menurut perkongsian tular di media sosial, wang yang diterima mangsa itu berkemungkinan hasil pinjaman yang dibuat menggunakan identiti mangsa sendiri.

Penipu dipercayai menggunakan maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan untuk memohon pinjaman, sebelum wang tersebut dimasukkan ke akaun mangsa.

Apabila mangsa memulangkan wang ke akaun yang diberikan, mereka sebenarnya secara sukarela menyerahkan wang tersebut kepada scammer.

Lebih membimbangkan, pinjaman itu kekal atas nama mangsa, menjadikan mereka bertanggungjawab sepenuhnya terhadap hutang tersebut, manakala penipu menghilangkan diri.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak panik sekiranya menerima panggilan sedemikian.

Antara langkah penting yang perlu diambil ialah tidak memindahkan sebarang wang, walaupun diminta secara mendesak.

Sebaliknya, mangsa perlu segera menghubungi pihak bank melalui nombor rasmi bagi mengesahkan transaksi tersebut.

Sekiranya benar berlaku kesilapan pemindahan, pihak bank mempunyai prosedur tersendiri untuk menyelesaikannya.

Dalam masa sama, kejadian tersebut perlu dilaporkan sebagai kes penipuan bagi mengelakkan wang terus dipindahkan atau digunakan.

Antara tanda amaran yang perlu diberi perhatian termasuk kemasukan wang secara tiba-tiba tanpa sebab jelas, desakan untuk membuat pemindahan segera serta arahan memindahkan wang ke akaun pihak ketiga.

Perkongsian itu turut mengingatkan bahawa taktik penipuan kini bukan sahaja menyasarkan wang sedia ada, malah mampu memerangkap mangsa dengan hutang tanpa mereka sedari.

Orang ramai, khususnya golongan warga emas, dinasihatkan supaya lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan helah sebegini.

Baca juga: Pembeli rumah trauma disimbah cat, pemilik lama masih guna alamat pinjam along