Anak bongsu View Chin didakwa trauma ke sekolah, terlalu lama dilarikan bapa?

Oleh MALAYSIADATELINE

Pempengaruh media sosial, Shermine ‘Ah Moi’ akhirnya dapat menarik nafas lega apabila anak bongsunya yang sebelum ini didakwa dilarikan oleh bekas suami iaitu usahawan sensasi, View Chin kembali ke pangkuannya.

Menerusi hantaran dimuat naik di platform Facebook, Shermine meluahkan rasa kesal kerana sebagai bapa yang bertanggungjawab, View Chin tidak seharusnya membiarkan anak ponteng sekolah ketika berada di bawah jagaannya.

Sang ibu juga merasa tidak senang apabila anaknya seakan-akan digunakan untuk merakam video sewaktu kanak-kanak terbabit berada dalam keadaan ketakutan demi membuat ‘drama sedih’ agar dapat menghasut pendapat umum.

Menurut Shermine, anak bukan alat untuk membina imej dan tindakan ‘mereka’ skrip serta mendedahkan dokumen peribadi untuk memutuskan hubungan antara ibu dan anaknya adalah satu penghinaan besar terhadap maruah kanak-kanak itu.

“Sepanjang bulan ini, saya memilih untuk bertenang dan berdiam diri walaupun berdepan dengan pelbagai fitnah, cerita rekaan dan tindakan melampau dengan mendedahkan dokumen peribadi anak secara terbuka di media sosial. Diam saya bukan bermakna mengaku bersalah.

“Tetapi sebagai seorang ibu, saya sedar bahawa sepanjang proses perundangan berlangsung, melindungi kesihatan mental dan privasi anak jauh lebih penting daripada bertekak di media sosial. Namun, saya perlu menjelaskan beberapa fakta demi kebenaran.

“Anak saya dipulangkan bukan kerana pihak sana ‘insaf’ atau ‘mengalah mengalah secara sukarela’. Hakikatnya; Di bawah Perintah Pengembalian Semula daripada mahkamah serta tekanan kemungkinan penglibatan pihak polis, barulah pihak tertentu terpaksa bekerjasama demi menyelamatkan kepentingan diri sendiri,” katanya.

Sekiranya Perintah Pengembalian tersebut tidak dikeluarkan oleh mahkamah, Shermine sendiri tidak pasti sama dirinya masih berpeluang untuk melihat wajah anak bongsunya selepas kejadian tersebut ataupun sebaliknya.

Shermine juga mendakwa bahawa kejadian itu turut meninggalkan kesan secara mendalam kepada anak bongsunya secara emosi sehinggakan kanak-kanak terbabit dikatakan merasa trauma untuk kembali ke sekolah semula.

“Sepanjang ketiadaan anak, saya terpaksa menelan segala ugutan dan cacian daripada individu tertentu terhadap diri ini sebagai ibu. Saya memilih untuk tidak membalas kerana tahu masalah ini harus diselesaikan secara rasional melalui lunas undang-undang.

“Setiap malam ketika menemani dua lagi anak perempuan saya tidur, mereka sering bertanya dengan nada sayu; ‘Bilakah Baby Shyanne (adik bongsu) akan pulang?’ Saya terpaksa menahan air mata demi menenangkan ketakutan mereka.

“Kini setelah anak saya pulang, dia trauma untuk ke sekolah kerana sudah terlalu lama dibawa lari. Saya memerlukan kesabaran dan kebijaksanaan yang tinggi untuk mengubati luka emosi anak. Saya tidak akan bertindak mengikut emosi seperti pihak sana,” tegasnya.

Sehubungan dengan itu, Shermine akan mengambil tindakan tegas dengan menggunakan saluran undang-undang kepada mana-mana pihak yang melarikan atau sengaja menyembunyikan lokasi anaknya secara tidak sah selepas ini.

Difahamkan, anak-anak lain juga terganggu dengan kejadian itu hingga dengan jelas mengatakan mereka tidak mahu lagi berjumpa bapanya dan Shermine akan membuat permohonan kepada mahkamah berhubung perkara tersebut.

“Jika selepas ini ada mana-mana pihak cuba melarikan atau menyembunyikan anak secara tidak sah. Sama ada saudara-mara, rakan-rakan, ahli keluarga atau sesiapa yang sengaja menyembunyikan lokasi anak atau membantu dalam tindakan merampas hak penjagaan.

“Anda akan dianggap sebagai bersubahat di sisi undang-undang. Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa sahaja yang terlibat. Sila hormati undang-undang dan jangan mencabar sempadan demi kepentingan peribadi.

“Segala fitnah dan tuduhan tidak benar yang dilemparkan terhadap saya telah pun direkodkan sebagai bukti. Saya akan meneruskan tindakan saman fitnah dan juga memfailkan tindakan atas ‘Penghinaan Mahkamah’ terhadap pihak yang ingkar arahan mahkamah sebelum ini.” Jelasnya.

Dalam hantaran sama, Shermine juga menekankan bahawa dirinya tidak mahu isu keluarganya dijadikan sebagai ‘drama bersiri’ di media sosial dan segala pertikaian yang berlaku selepas ini akan diselesaikan di mahkamah sahaja.

Baca juga: “Tiba-tiba duit masuk RM5,000?” – nampak macam ‘salah transfer’, rupanya taktik scam