“Mati nanti, balut kain kapan juga” – Janna Nick tegur sikap ‘double standard’ terhadap artis

Oleh MALAYSIADATELINE

Pelakon dan pengacara, Janna Nick, mencuri perhatian ramai selepas berkongsi pandangan mengenai sikap segelintir individu yang memberikan layanan berbeza terhadap golongan artis.

Menerusi satu hantaran di media sosial, Janna menegaskan bahawa artis hanyalah satu pekerjaan dan tidak seharusnya dilayan secara berlebihan berbanding orang lain.

Menurutnya, layanan terhadap artis sepatutnya sama seperti pelanggan biasa, terutama dalam situasi melibatkan perkhidmatan pelanggan.

“Artis tu pekerjaan je la, sama je manusia biasa. Pakai perfume wangi macam mana pun, kentut tetap busuk juga. Mati nanti, balut kain kapan juga.

“So tak payah la nak layan lebih-lebih,” kongsinya di Threads.

Dalam masa sama Janna menasihatkan mereka yang bekerja di bahagian khidmat pelanggan tak perlu membezakan layan terhadap orang biasa dengan selebriti.

“Contoh, untuk yang kerja bahagian khidmat pelanggan, kalau awak layan pelanggan lain baik, bagi layanan yang sama juga dekat artis.

“Kalau awak jenis baran nak layan pelanggan, baran juga lah layan artis. Kita tak harap layanan yang lebih-lebih pun.

“Jadi awkward kalau too much attention. Double standard semua, tak perlu!” katanya.

Baca juga: Pelukis tatu lagi sanggup tanggung rugi, akui tolak ramai pelanggan Muslim