Seorang wanita yang bergelar pelukis tatu telah berjaya mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas membuat pendedahan cukup mengejutkan mengenai kedatangan pelanggan ke premisnya.
Mana tidaknya menerusi perkongsian dimuat naik di platform TikTok itu, pelukis terbabit mengakui bahawa premis tempatnya bekerja sememangnya didatangi ramai pelanggan terdiri daripada masyarakat Muslim.
Walau bagaimanapun, pelukis terbabit lebih memilih untuk menolak pelanggan sedemikian daripada meraih keuntungan secara tidak beretika sekaligus menuai pujian orang ramai terhadap pendiriannya.
Pelukis itu juga malah memberikan nasihat terutama dalam kalangan pelanggan yang belum mencacah kulit mereka kerana tatu tersebut akan kekal di badan buat selama-lamanya.
“Saya ingatkan, orang Muslim tak boleh buat tatu sebab ia memang ikut anda (melekat pada kulit) sampai mati. Tetapi banyak orang Muslim datang tanya, minta lukis tatu. Susah aku tahu tak. Nak untung tetapi tak boleh.
“Saya hanya boleh cakap, ‘Maaf kalau anda tak ada tatu lagi, tak boleh buat sebab ini memang haram’,” kata pelukis tatu terbabit dalam perkongsian video berdurasi satu minit 56 saat itu.
Setakat artikel ini ditulis, perkongsian tersebut sudah berjaya meraih sebanyak 1.3 juta tontonan yang mana rata-rata pengguna TikTok memuji etika dimiliki oleh pelukis tatu berkenaan.
Ramai juga pengguna TikTok mengagumi sikap ambil tahu pelukis tatu berkenaan mengenai isu halal dan haram bagi masyarakat Muslim selain menghormati agama orang lain.
“Terima kasih sangat-sangat kerana memahami. Untuk Muslim yang sudah ada tatu, tak boleh tambah atau tutup. Awak tak akan rugi sebab hilang pelanggan. Tetapi akan lebih untung sebab tak rasa bersalah dan hati tenang sebab pilih pelanggan yang layak,” kata seorang pengguna.
“Bagusnya amoi ini. Dia ambil tahu tentang halal dan haram dalam Islam. Aku suka orang macam ini. Menghormati agama lain. Saya nak bagi pelukan untuk awak.” Kongsi pengguna lain.
Baca juga: ‘Kami semua dapat subsidi buat apa ‘join’ bantah harga minyak?’- Abang teksi sekolahkan penganjur