Seorang suri rumah ditahan reman selama lima hari untuk membantu siasatan kes penemuan lima laras senjata api termasuk raifal jenis M16 dalam sebuah kediaman di Kampung Miak, Gua Musang, semalam.
Perintah tahanan reman terhadap wanita berusia 32 tahun yang dijangka akan berakhir pada Sabtu itu dikeluarkan oleh Hakim Nik Mohd. Tarmizie Nik Mohd. Shukri di Mahkamah Majistret Gua Musang, hari ini.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, suspek ditahan semalam di dalam serbuan yang dijalankan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) di sebuah rumah terletak di Kampung Miak.
Difahamkan, permohonan perintah tahanan reman itu kemudian dibuat ke atas suspek bertujuan untuk membantu siasatan pihak polis mengikut Akta Senjata Api 1960, lapor Berita Harian.
Terdahulu, sepasukan pegawai dan anggota daripada Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) menjalankan serbuan di rumah tersebut semalam kira-kira pada jam 6.45 petang menerusi Ops Bersepadu Khazanah.
Serbuan tersebut dibuat selepas pihak PGA mendapat maklumat berkaitan aktiviti menyimpan bahagian terbitan hidupan liar yang dilindungi sebelum menemukan lima laras senjata api berkenaan.
Menurut Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain, siasatan awal mendapati wanita terbabit mendakwa bahawa semua senjata api berkenaan adalah milik suaminya.
Sang isteri juga mengakui tidak tahu menahu tentang senjata api itu manakala semakan pihak berkuasa terhadap suaminya pula mendapati lelaki berusia 34 tahun terbabit tidak memiliki rekod kesalahan lampau.
“Antara senjata yang dirampas adalah dua senapang angin buatan sendiri, selaras pum angin, dua laras senapang patah termasuk satu jenis ‘short gun’ dan satu beg kain bercorak celoreng warna hijau yang terdapat selaras senapang warna hitam jenis Colt M16 A1.
“Selain itu, turut ditemukan adalah 57 butir peluru penabur, 20 butir peluru 5.56 mm, 20 butir peluru 5.56 mm dan 35 butir peluru hidup,” katanya dalam satu kenyataan memetik laporan Berita Harian.
Suri rumah itu juga tidak mengetahui di mana senjata api tersebut dibeli suaminya selain memaklumkan baru empat bulan tinggal bersama kerana wanita terbabit mendiami rumah keluarganya di Kuala Krai sebelum ini.
Wanita itu juga dikatakan sudah beberapa kali cuba menghubungi suaminya untuk memintanya pulang ke rumah selepas kediaman mereka diserbu namun lelaki berkenaan enggan berbuat sedemikian.
Kes tersebut kemudian diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Gua Musang untuk tindakan lanjut.
Baca juga: “Letak sticker ‘fragile’ pun tak guna?” – Video pekerja kurier campak parcel cetus kecaman