Anak Ako Mustapha didakwa dibuli 5 pelajar, ada kesan tumbuk dan tapak kasut di perut

Oleh MALAYSIADATELINE

Pelakon, Ako Mustapha mendakwa anaknya yang baru berusia 10 tahun dibuli oleh lima pelajar dalam kejadian berlaku di sekolahnya sehingga mengalami kecederaan di bahagian perut.

Perkara itu didedahkan Ako menerusi perkongsian di platform Threads di mana pelakon terbabit meluahkan rasa berang ekoran anaknya menjadi mangsa buli dua pelajar senior dan tiga murid sekelasnya.

Difahamkan, kejadian tersebut diceritakan sendiri oleh anak lelakinya iaitu Mikael Iskandar selepas Ako melihat kesan tumbukan dan tapak kasut di perutnya ketika mengeringkan badan susulan membersihkan diri.

Ako kemudian mengambil gambar dan rakaman kesan kecederaan Mikael untuk dihantar kepada guru kelas dan membawa anaknya ke klinik kesihatan bagi mendapatkan rawatan sebelum ke balai polis.

“Apabila keringkan badan dia, saya perasan dekat perut ada kesan tapak kasut dan tumbukan. Terus saya soal siasat Mika. Dia pun ceritakan satu persatu dan saya mengambil gambar serta video kesan kecederaan untuk dihantar kepada guru kelas Mika.

“Selepas diperiksa dekat klinik kesihatan, doktor beri surat rujukan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL). Tengah berurusan di HKL, Mika mengadu sakit perut dan dada. Isteri saya juga mengambil gambar dan rakaman yang jelas kesan tapak kasut dan tumbukan.

“Guru kelas juga sudah diberitahu dan maklum akan menyiasat kejadian itu sebelum mengambil tindakan seterusnya. Alhamdulillah guru kelas anak saya, Mika memberikan kerjasama,” kata Ako dalam beberapa siri hantaran di akaun Threads miliknya.

Dalam perkongsian seterusnya, Ako memaklumkan bahawa Mikael kini dimasukkan ke wad HKL dan perlu berpuasa kerana doktor akan menjalankan prosedur imbasan X-ray ke atas anaknya itu.

Pelakon terbabit turut memohon doa daripada orang ramai agar keadaan anaknya baik-baik sahaja sebelum perkongsian itu dibanjiri dengan kata-kata semangat dan harapan supaya Mikael sembuh secepatnya.

Baca juga: Caj RM30 baiki kalkulator jadi isu ‘panas’, KPDN Kelantan mula siasatan terhadap peniaga