Mekanik yang tular Usop atau abang ‘minyakhitamjalanan’ meluahkan rasa syukur selepas menerima hadiah tiket umrah ketika menghadiri jemputan program di stesen televisyen Islamik TV AlHijrah.
Dalam hantaran di Facebook, Usop atau nama sebenarnya Mohd Yusof Mohamed Noor memaklumkan dia hadir ke program tersebut tanpa meletakkan sebarang harapan kerana sekadar memenuhi jemputan..
“Hari ini aku dijemput dari TV AlHijrah. Disebabkan mak aku memang suka tengok TV AlHijrah, aku datang.
“Aku datang memang tak berharap apa-apa langsung,” katanya.
Usop turut berkongsi bahawa dia sebelum ini pernah menyimpan impian untuk menghantar ibunya menunaikan umrah apabila perniagaannya semakin maju.
“Tahun lepas aku cakap dengan isteri aku, ‘Mama nanti bila bisnes kita dah maju, abang nak bagi mak pergi umrah. Kita simpan sikit-sikit duit nanti’,” katanya lagi.
Menurutnya, ketika majlis berlangsung dia sempat berbual dengan pihak pengurusan tertinggi TV AlHijrah yang bertanyakan sama ada dia pernah mengerjakan umrah atau haji.
“Bos besar AlHijrah duduk sebelah aku, dia tanya aku pernah pergi umrah atau haji ke. Aku jawab, saya tak pernah lagi tuan,” ujarnya.
Namun, Usop tidak menyangka namanya dipanggil naik ke pentas pada penghujung majlis sebelum menerima hadiah perjalanan umrah.
“Dah nak habis makan, sekali nama aku dipanggil naik atas pentas.
“Rupanya Menteri Agama dan bos besar TV AlHijrah bagi tiket untuk pergi umrah. Allahuakbar, Alhamdulillah rezeki,” katanya.
Tambahnya, dia terus menghubungi ibunya untuk berkongsi berita gembira tersebut.
“Aku terus WhatsApp mak bagitahu dia. Mak Usop, nak bagi mak pergi umrah. Alhamdulillah, sebelum ini memang ada niat untuk mak. Ini rezeki mak,” katanya.
Baca juga: Adira dakwa Datuk Red minta RM100,000 jika nak batal rujuk, ini respons tuan badan