Penyanyi popular, Adira Suhaimi meluahkan rasa kesal apabila kes pengesahan lafaz rujuk yang difailkan oleh bekas suaminya iaitu Datuk Red pada Disember tahun lalu masih belum selesai sehingga ke hari ini.
Menurutnya, perkara tersebut sudah lama berlarutan sehingga berharap ia dapat diselesaikan pada hari ini juga namun sayangnya takdir berkata lain apabila perbicaraan kes ditangguhkan mahkamah.
Adira juga kecewa apabila Datuk Red yang bergelar ahli perniagaan sensasi itu didakwa meletakkan syarat jika mahu kes pengesahan lafaz rujuk itu ditarik semula beberapa hari sebelum prosiding berjalan.
Difahamkan, antara salah satu syarat adalah Adira perlu memberikan wang tunai berjumlah RM100,000 kepada Datuk Red untuk mengaku di depan hakim bahawa rujuk tidak pernah berlaku, lapor Kosmo.
“Mungkin bukan rezeki untuk selesai hari ini. Saya juga terkejut atas beberapa tuntutan iaitu beberapa hari sebelum ini dengan mengatakan dia boleh batalkan dan mengaku depan hakim yang rujuk tidak berlaku sekiranya saya ikut syarat dia.
“Syaratnya ialah dia meminta saya menggugurkan saman sivil saya terhadap dia atas tuntutan hutang dan nak saya beri dia wang tunai RM100,000 untuk dia batalkan rujuk ini,” kata Adira memetik laporan Kosmo ketika ditemui media di perkarangan mahkamah.
Syarat dikemukan oleh Datuk Red itu bagaimanapun tidak dipersetujui Adira kerana berpandangan bahawa perkara tersebut tidak masuk akal untuknya membayar dengan jumlah tersebut demi membatalkan kes.
Hal ini ekoran pemilik nama sebenar Siti Adira Suhaimi itu perlu mencari punca rezeki daripada pagi sehingga ke malam menanggung keperluan anak-anak mereka seorang diri tanpa bantuan Datuk Red.
“Malangnya saya tidak bersetuju sebab saya kerja pagi petang siang malam, ada empat tanggungan (anak-anak) di rumah dan tak pernah menyusahkan dia pun. Tergamaknya dia ya? Sanggup dia beri tuntutan terhadap bekas isteri yang bertungkus-lumus menjaga anak-anak.
“Jadi, itu adalah antara tuntutan yang dia beri tetapi saya tidak bersetuju. Maka berlaku bicara di mahkamah hari ini,” ujarnya yang menjelaskan saman sivil difailkan terhadap Datuk Red adalah berkaitan wang pinjaman ratusan ribu diberikan kepada bekas suami selepas bercerai.
Dalam pada itu, Datuk Red pula menafikan dakwaan berhubung perletakan syarat dan memberitahu tujuan utamanya memfailkan kes hanya untuk mendapatkan kepastian mengenai status hubungan mereka.
Malah sekiranya lafaz rujuk disahkan mengikut hukum syarak, Datuk Red atau nama sebenarnya Datuk Seri Adnan Abu akan memfailkan sendiri permohonan kepada pihak mahkamah untuk mereka berpisah.
“Saya tak kemukakan sebarang tawaran secara rasmi dan perkara ini bukannya untuk berjual beli. Sebagai seorang lelaki dan suami sekiranya rujuk ini tak sah, tidak mengapa. Jangan takut, peminat Adira dan kawan-kawan dia atau sesiapa, harap bersabar.
“Kalau rujuk ini sah, tak ada masalah. Saya sendiri yang pergi mohon nanti untuk berpisah. Jangan risau dan tiada pun tuntutan tersebut serta hanya mahu kes ini dipermudahkan sahaja,” jelasnya selepas perbicaraan kes pengesahan lafaz rujuk hari ini.
Terdahulu, Hakim Nurul Hidayah Jani memutuskan untuk menangguhkan prosiding pengesahan lafaz rujuk pasangan itu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat hari ini pada 25 Jun depan.
Baca juga: “Pening mak, anak oi” – Ibu terkejut anak buat ‘projek cuci duit’, siap rendam dalam baldi