Baru-baru ini tular rakaman memaparkan penemuan seekor anak lembu di sebuah lokasi yang tidak dijangka sekali gus mengundang perbincangan hangat dalam kalangan pengguna media sosial baru-baru ini.
Mana tidaknya menerusi video dikongsikan di platform TikTok itu, lembu tersebut ditemukan di tengah Sungai Perak sehingga menimbulkan tanda tanya orang ramai bagaimana haiwan berkenaan boleh sampai ke situ.
Persoalan ini dijawab oleh perakam video yang dikenali sebagai Shah Mazar di ruangan komen memaklumkan bahawa anak lembu tersebut dipercayai terjatuh dari tebing ketika sedang meninum air sungai.
Binatang berkenaan kemudian terbawa arus sehingga ke tengah sungai sebelum dipercayai tersangkut dekat beting pasir kerana tidak dapat ke mana-mana ekoran paras air kawasan di sekeliling sudah tinggi.
Difahamkan, penemuan berlaku selepas perakam video yang berdurasi 59 saat itu turun ke sungai berkenaan dengan tujuan untuk menjala ikan namun sayangnya tidak berjaya mendapatkan sebarang hasil.
Ketika kejadian, Shah Mazar dipercayai berada dalam perjalanan pulang namun melihat sesuatu di tengah sungai dan memutuskan untuk memandu botnya ke lokasi sebelum ternampak anak lembu terperangkap.
“Aku tengok macam ada sesuatu di tengah sungai. Ha, itu dia. Seekor anak lembu. Aku nak buat macam mana ini, anak lembu jatuh ke sungai. Mana mana nak buat, anak lembu kecil. Kira rezeki ke macam mana,” selorohnya.
Khuatir jika berlaku apa-apa terhadap lembu itu, Shah Mazar mengambil keputusan untuk membantu haiwan yang sudah hilang arah berkenaan dengan perlahan-lahan menghambatnya ke kawasan tebing sungai.
Walaupun kelihatan seperti hampir lemas, lembu itu akhirnya berjaya mendaki tebing namun terhalang pula dengan pagar sebelum menemukan ruang sempit untuk naik ke darat menyelamatkan diri.
Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna TikTok mengucapkan terima kasih dan mengirimkan doa yang terbaik kepada Shah Maza kerana membantu dan menemani lembu tersebut sehingga selamat.
Ramai juga pengguna berkongsikan rasa lega apabila lembu itu berjaya naik ke darat berikutan kawasan tersebut dikhabarkan turut didiami oleh buaya sekali gus mengundang risiko kepada keselamatan haiwan malang berkenaan.
Baca juga: Ramai persoal parcel sampai tengah malam, rupanya ada ‘rider’ takut kena penalti