Bermula 1 Mac lalu, kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menguatkuasakan larangan penjualan dan pembelian minyak masak bersubsidi kepada warga asing.
Selain penguatkuasaan peraturan berkenaan, kerajaan juga mengguna pakai aplikasi eCoSS bagi memastikan minyak masak hanya dibeli oleh warganegara Malaysia.
Pelaksanaan kedua-dua langkah ini dilihat berkesan apabila bekalan minyak masak paket kekal mencukupi dan mudah diperoleh di pasaran.
Selain itu, aduan berkaitan pembelian minyak masak paket satu kilogram oleh warganegara asing juga semakin berkurang.
Ia disahkan Ketua Pengarah KPDN, Datuk Azman Adam yang memaklumkan, data aduan diterima pihaknya mendapati maklumat pembelian minyak masak paket oleh warga asing semakin berkurangan sejak pelaksanaan peraturan tersebut.
Trend penurunan itu jelas beliau, menunjukkan keberkesanan langkah penguatkuasaan yang diperkenalkan kerajaan.
“Apabila kita mula menguatkuasakan sepenuhnya larangan ini, aduan daripada orang ramai berkaitan perkara itu mula menurun dengan mendadak,” katanya dalam sidang akhbar pencapaian Ops Tiris semalam
Setakat ini hanya tiga kes direkodkan melibatkan pelanggaran peraturan tersebut di seluruh negara, dengan dua daripada kes itu berlaku di Kedah, manakala satu lagi dikesan di Selangor.
Azman berkata, setakat ini, pihaknya tidak menerima aduan di negeri-negeri lain.
Menurutnya, perkembangan positif itu menunjukkan tahap pematuhan yang baik dalam kalangan pihak berkaitan termasuk peruncit.
“Penguatkuasaan larangan tersebut adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan subsidi minyak masak peket hanya dinikmati rakyat tempatan.
“Langkah itu juga bertujuan mengelakkan ketirisan subsidi yang boleh menjejaskan bekalan kepada pengguna tempatan,” ujarnya.
Baca juga: Selalu beli produk Ramly? Rupanya ramai tak tahu wujud kad ahli, bayar RM5 je!