Peranan pusat zakat dilihat semakin relevan bukan sahaja sebagai penyalur bantuan kebajikan, tetapi juga sebagai sokongan kewangan bersasar kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin mencabar, isu beban hutang menjadi antara kebimbangan utama dalam kalangan rakyat.
Justeru ada yang tertanya-tanya sama ada institusi zakat boleh berperanan membantu seseorang melangsaikan hutang yang ditanggung atau tidak.
Menjawab perkara ini, Podcast Financial Faiz yang menampilkan Ketua Pegawai Operasi Lembaga Zakat Selangor, Ahmad Fadhil Hassan untuk menjelaskan tanda tanya ramai.
Mungkin ramai tidak tahu, tetapi pusat zakat boleh membantu melangsaikan hutang individu, namun ia tertakluk kepada syarat yang perlu dipatuhi.
Bantuan ini diberikan secara khusus bagi hutang melibatkan organisasi atau institusi rasmi, seperti bil perubatan yang tinggi.
Menurut Ahmad Fadhil, kes berkaitan perubatan merupakan antara yang paling kerap dibantu kerana tanpa sokongan, individu berkenaan berpotensi jatuh ke dalam kitaran kemiskinan.
Selain itu memetik mStar, terdapat juga pertimbangan bagi hutang berkaitan perumahan, namun ia memerlukan penilaian lebih ketat berdasarkan keperluan dan kelayakan semasa pemohon.
Bantuan hanya akan disalurkan sekiranya permohonan disertakan dengan dokumentasi lengkap serta bukti yang sah, bagi memastikan kes tersebut benar-benar tulen dan memerlukan.
Sebaliknya, hutang peribadi seperti pinjaman daripada rakan atau ahli keluarga tidak termasuk dalam skop bantuan pusat zakat kerana memerlukan sokongan dari segi pengesahan dan rekod rasmi atau dokumentasi.
Baca juga: Wanita cedera dipukul suami hingga gugur, barang kemas dan wang juga dilarikan