Seorang wanita dilaporkan mengalami kecederaan di badan dan lebam di wajahnya selepas didakwa dipukul oleh suaminya sehingga menyebabkan kandungannya yang berusia 12 minggu gugur.
Kejadian itu didedahkan oleh abang mangsa, Mohd Firdaus Moktar, 45, yang memaklumkan bahawa adiknya kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah.
Menurut Firdaus, adiknya yang berusia 39 tahun itu berkahwin dengan seorang lelaki berumur 43 tahun di negara jiran pada Disember tahun lalu dan pernikahan mereka belum didaftarkan di Malaysia.
Bagaimanapun dalam kejadian berlaku pada Khamis lalu, Firdaus mendakwa adiknya dipukul malah barang kemas dan wang simpanan di bank berjumlah hampir RM50,000 juga dilarikan suaminya, lapor Berita Harian.
“Kira-kira jam 1 tengah hari Khamis lalu, adik dan suaminya bertengkar sebelum dipukul menggunakan penyangkut baju, getah paip dan batang besi langsir serta batang penyapu hingga patah.
“Kejadian menyebabkan tangan dan jari kirinya patah, lebam di muka selain ditumbuk di perut,” katanya memetik laporan Berita Harian ketika dihubungi oleh pihak media berhubung kejadian tersebut.
Tidak cukup dengan itu, Firdaus juga memaklumkan bahawa pelaku turut bertindak memberi ugutan akan mengganggu keluarganya termasuklah dua anak adiknya daripada perkahwinan terdahulu.
Sehubungan dengan itu, Firdaus tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk membuat laporan bersama ibunya Norlelah Zainal, 64, sebelum diberitahu suspek telah menjadi buruan susulan kejadian sama di Johor.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan mengesahkan pihaknya menerima laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 / 18 Akta Keganasan Rumah Tangga (AKRT) 2017.
Baca juga: Tular gambar sampul ‘Urusan Seri Paduka Baginda’, ramai dakwa pernah kena taktik ini